KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengaktifkan Operasi GUARD selain turut menggandakan rondaan bagi mengesan saki-baki Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myammar yang dilaporkan menuju ke Pulau Langkawi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, ia susulan penahanan 196 PATI Myanmar oleh pihak polis di kawasan Pantai Teluk Yu pada pukul 3.25 pagi Jumaat, selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima pihak Maritim Malaysia, terdapat dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI Myanmar berada di laut namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenal pasti.

“Maritim Malaysia telah menggerakkan bot dan kapal ke lokasi pendaratan, membuat rondaan di sekitar perairan utara Langkawi serta di kawasan sempadan negara dan mengaturgerak pesawat udara bagi melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan PATI berkenaan.

“Bukan itu sahaja, Maritim Malaysia turut berhubung dengan pihak penguat kuasa Negara Thailand untuk mengenal pasti sama ada pergerakan dua bot yang membawa PATI berkenaan dikesan oleh pihak negara berkenaan,” jelas beliau.

Setakat ini, tiada sebarang petunjuk penemuan dua bot berkenaan.

Komuniti maritim sekitar Langkawi diminta untuk menyalurkan maklumat segera ke talian 999 atau hubungi Maritim Rescue Sub Centre (MSRC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868 jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.