"Saya yakin bahawa budaya mandian air panas adalah setanding dengan pembuatan tradisional sake dan 'shochu', yang diterima dalam senarai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Disember," kata Gabenor Tottori, Shinji Hirai iaitu ketua kumpulan itu semasa mesyuarat dalam talian bagi membincangkan usaha melobi kemasukan budaya mandian air panas.
Kumpulan yang ditubuhkan pada November 2022 itu mendefinisikan budaya mandian air panas, atau "onsen" dalam bahasa Jepun, sebagai satu gaya hidup yang dikongsi secara meluas dalam kalangan rakyat Jepun.
Air mineral yang ditemui di sekitar 3,000 lokasi dianggap sebagai "anugerah alam semula jadi yang menyembuhkan minda dan tubuh," menurut kumpulan itu.
Dianggotai oleh 44 daripada 47 wilayah Jepun, kumpulan berkenaan merancang untuk menyiapkan laporan mengenai keadaan di sekitar kawasan air panas di seluruh Jepun, termasuk keperluan melindunginya sebagai warisan budaya menjelang Mac.
Kemudian, mereka akan menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shigeru Ishiba untuk mempromosikan kempen ini dengan harapan usaha tersebut dapat menyumbang kepada pemulihan lokasi-lokasi terbabit.
Usaha untuk menyenaraikan mandian air panas semakin mendapat perhatian selepas budaya sauna Finland diiktiraf sebagai warisan tidak ketara pada 2020, dengan jawatankuasa UNESCO menyifatkannya sebagai " sebahagian penting dalam kehidupan majoriti penduduk Finland."
-- BERNAMA