TOKYO: Menteri Kewangan Jepun Katsunobu Kato pada Ahad melahirkan kebimbangan serius terhadap kemungkinan kesan kadar tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas China, Kanada dan Mexico, lapor agensi berita Kyodo.

Bercakap dalam sebuah program televisyen, Kato berkata beliau "amat bimbang mengenai kemungkinan kesannya terhadap ekonomi global" serta menekankan keperluan untuk "menilai secara menyeluruh" pergerakan pertukaran asing dan prospek dasar monetari di AS yang merupakan rakan dagang utama Jepun.

Presiden AS Donald Trump pada Sabtu mengarahkan pelaksanaan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico, serta tambahan 10 peratus ke atas barangan dari China.

"Kita perlu meneliti secara mendalam bagaimana Jepun mungkin terkesan secara khusus dan mengambil langkah yang sewajarnya," kata Kato, merujuk sebahagiannya kepada kebimbangan inflasi susulan kadar tarif tinggi yang dikenakan oleh pentadbiran Trump.

Sebagai tindak balas, Kanada akan melaksanakan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari AS.

Presiden Mexico Claudia Sheinbaum berkata beliau telah mengarahkan Menteri Ekonominya Marcelo Ebrard untuk melaksanakan "langkah tarif dan bukan tarif" bagi melindungi kepentingan negara susulan kenaikan kadar tarif oleh AS.

-- BERNAMA