Ketua Bomba Washington, John Donnelly dalam sidang media pada Khamis memaklumkan, setakat ini 28 mayat telah ditemui.
"Kami akan berusaha mencari semua mayat dan menyatukan mereka dengan keluarga masing-masing," tambahnya.
Terdahulu media melaporkan sejumlah 18 mayat ditemukan di Sungai Potomac susulan nahas pesawat penumpang American Airlines dengan helikopter tentera Black Hawk berhampiran Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington di Washington DC, pada Rabu.
Pesawat PSA Airlines Bombardier CRJ700 dilapor membawa 60 penumpang dan empat anak kapal, manakala helikopter 'Black Hawk' Sikorsky H-60 milik Tentera Darat membawa tiga anak kapal.
Antara penumpang dalam pesawat termasuk peluncur ais, keluarga, dan jurulatih yang pulang dari acara di Wichita, Kansas, termasuk bekas juara dunia kelahiran Rusia, Yevgenia Shishkova dan Vadim Naumov.
Presiden AS Donald Trump dalam pada itu berkata, tragedi itu tidak seharusnya berlaku dan boleh dielak, selain mempersoalkan tindakan menara kawalan dan helikopter terbabit.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca nahas dan akan memberikan maklumat lanjut sebaik sahaja siasatan selesai.