Dalam masa sama, 19 lagi mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan.
Nahas ini yang merupakan bencana udara besar kedua di AS minggu ini – berlaku pada Jumaat apabila pesawat jet berkembar enjin Learjet 55 terhempas ke sebuah kawasan perumahan yang sibuk di Philadelphia meletup dan menyebarkan serpihan ke rumah-rumah berdekatan dan kenderaan.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata, kesemua enam orang yang berada di dalam pesawat itu - seorang gadis muda yang berada di AS untuk rawatan ibunya, dan anggota kru penerbangan serta perubatan telah terkorban.
Kesemua mereka adalah warganegara Mexico.
Pada Sabtu, Datuk Bandar Philadelphia, Cherelle Parker berkata, sekurang-kurangnya seorang lagi mangsa yang berada dalam kereta turut terkorban dan 19 orang lagi cedera.
Dalam satu sidang media, Parker menegaskan, jumlah kematian ini "belum pasti" dan ia boleh meningkat lagi.
"Kami masih tidak mengetahui siapa yang berada di mana di persekitaran kejiranan ini semasa impak berlaku," kata pengarah pengurusan bandar, Adam Thiel, sambil memaklumkan, pihaknya memerlukan masa beberapa hari sebelum jumlah sebenar diketahui.
Beliau berkata, kawasan impak meliputi empat hingga enam blok dan terdapat juga serpihan di kawasan "terpencil di mana sesuatu berlaku dengan pesawat itu."
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menzahirkan ucapan takziah melalui platform media sosial X.
Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) berkata ia akan melancarkan siasatan bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Kedua-dua agensi itu kini sedang menyiasat bencana udara di AS dalam hampir dua dekad, selepas sebuah pesawat penumpang yang dikendalikan oleh anak syarikat American Airlines bertembung dengan helikopter Black Hawk pada Rabu.
Pesawat tersebut yang membawa 64 orang, sedang mendarat di Lapangan Terbang Nasional Reagan di kawasan Washington – tidak jauh dari White House apabila ia bertembung dengan helikopter tentera AS yang sedang menjalani misi latihan. - Agensi