PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan memastikan aspek pelaksanaan tatakelola agensi di tahap terbaik tahun ini selain melengkapkan pegawai dan anggota dengan kemahiran teknologi terkini termasuk kecedasan buatan (AI).

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata APMM menyambut baik hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kepentingan tatakelola baik dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas demi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata APMM akan memastikan 2025 menjadi tahun pelaksanaan tatakelola yang terbaik agensi itu sama ada dalam pengurusan mahupun penguatkuasaan.

"APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai mahupun anggotanya yang cuba menggadaikan keselamatan negara kerana culas dalam tugasan, tidak berintegriti atau mementingkan keuntungan peribadi.

"Ini suatu perkara serius yang perlu ditangani sebaiknya oleh semua ketua jabatan dalam memastikan perkhidmatan awam dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia," katanya.

Mohd Rosli berkata pengukuhan tatakelola menjadi satu daripada teras yang diletakkan dalam usaha memacu agensi agar menjadi sebuah pasukan penguat kuasa yang disegani dan terbaik di dunia.

Bagi memastikan perkhidmatan lebih efisien, beliau berkata APMM turut merancang program latihan khusus dalam bidang teknologi terkini seperti AI untuk melengkapkan pegawai dan anggota dengan pengetahuan serta kemahiran teknologi terkini.

Melalui aplikasi teknologi AI dalam pengawasan, analisis data, dan pengurusan risiko, APMM yakin dapat meningkatkan keberkesanan operasi dan dapat berhadapan cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.

"Usaha yang dirancang ini turut seiring dengan impian Perdana Menteri yang ingin melihat penjawat awam terutamanya golongan muda dapat menyaingi kepakaran dimiliki penyedia perkhidmatan kerajaan (konsultan) serta pihak luar negara," katanya.

Beliau berkata APMM akan memastikan negara terus dipacu cemerlang kerajaan MADANI dengan melalui peningkatan dan pengukuhan tatakelola pegawai dan anggota agensi itu dalam segenap bidang dan pengoperasian.

Terdahulu, Anwar dilapor berkata penjawat awam, khususnya golongan muda perlu diberikan pendedahan maksimum dan latihan dalam bidang kritikal seperti AI serta peralihan tenaga bagi memperkukuh kecekapan mereka.

-- BERNAMA