Ringkasan AI
- Kerajaan akan meneruskan projek pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) walaupun kontrak asal dengan kontraktor telah ditamatkan. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri akan meneliti perkara berkaitan termasuk pencarian kontraktor baharu.
- APMM hanya menerima satu daripada tiga OPV yang dirancang, iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah. Dua lagi OPV belum disiapkan dan kontrak dengan THHE Destini Sdn Bhd ditamatkan kerana kegagalan menyiapkan kapal. Syarikat itu dikenakan denda lebih RM12 juta.
- Kerajaan telah membelanjakan lebih RM600 juta untuk projek pembinaan tiga OPV, tetapi hanya satu kapal disiapkan. Projek ini menghadapi masalah kewangan dan tertangguh akibat pandemik COVID-19. OPV1, KM Tun Fatimah, telah diterima dan beroperasi menjaga perairan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman dipertanggungjawabkan bagi meneliti perkara berkaitan termasuk pencarian kontraktor baharu.
"Seperti yang diketahui, APMM hanya menerima satu daripada tiga OPV iaitu Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah yang sudah bertugas menjaga perairan negara.
"Namun dua lagi (OPV) masih belum kesampaian dan akhirnya keputusan Kabinet supaya dilakukan mutual termination (penamatan dengan persetujuan bersama)...(Sehubungan itu), saya menetapkan hala tuju bahawa ia (OPV) mesti diteruskan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan menamatkan kontrak dengan THHE Destini Sdn Bhd (TDSB) selepas ia gagal menyiapkan pembinaan dua lagi kapal berkenaan.
Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat minggu lepas, Saifuddin Nasution berkata penamatan kontrak itu ditandatangani pada 31 Dis 2024 dan syarikat itu dikenakan Kadar Denda dan Ganti Rugi Ditetapkan (LAD) lebih RM12 juta atas kelewatan menyiapkan kapal OPV 2 dan OPV3.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan sebelum ini membelanjakan lebih RM600 juta untuk projek pembinaan tiga OPV berkenaan namun syarikat itu hanya mampu menyiapkan sebuah kapal.
"Kita dah berhabis banyak, ini adalah hal yang kami warisi daripada pentadbiran lama, kami bukan hendak main 'blame game' (menyalahkan sesiapa)," katanya.
Kerajaan memeterai perjanjian dengan THHE Destiny pada 2017 untuk membekalkan tiga unit OPV pada kos RM740 juta untuk APMM dan kapal peronda itu dijadual diserahkan pada 2022.
Bagaimanapun masalah kewangan syarikat induknya THHE serta pandemik COVID-19 menyebabkan kerja pembinaan kapal tersebut di Pulau Indah tertangguh.
OPV1 milik APMM iaitu KM Tun Fatimah yang diterima agensi itu tahun lepas, berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter mampu mencapai kelajuan 21 knot serta dilengkapi fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)