Calon PKR bagi kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meneruskan program debat yang dijadual malam ini "secara berseorangan" walaupun tidak mendapat permit polis.

Syed Saddiq tiba pada pukul 8.30 malam di Hotel Traders Muar sambil diiringi penyokongnya dan masuk ke dewan disediakan.

Moderator program kemudian memulakan majlis kira-kira jam 9 malam sambil mengumumkan nama calon yang berdebat termasuk Datuk Seri Razali Ibrahim, calon BN, juga penyandang kerusi berkenaan.

Namun, Razali tidak kelihatan di majlis tersebut.


Bagaimananpun, Syed Saddiq meneruskan debat "berseorangan" dengan mengetengahkan beberapa isu antaranya rumah mampu milik, isu pendapatan anak muda dan isu sara hidup masyarakat.

Beliau turut menjawab beberapa soalan hadirin.

Tengah hari tadi, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata program debat tidak dibenar diadakan kerana tiada permohonan permit dari penganjur dan atas masalah keselamatan awam.

Berikutan itu, Razali menawarkan satu sesi diskusi di rumah Pegawai Daerah Muar, Onn Jabar esok.

Razali berkata penyelesaian yang ditawarkannya itu bakal menyaksikan satu diskusi antaranya dengan Syed Saddiq dan seorang lagi calon kerusi Parlimen dari PAS, Abdul Aziz Talib.

Razali bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pegawai daerah itu di sini petang tadi.

Katanya, permit tidak diperlukan memandangkan tiada perhimpunan akan diadakan, manakala penyokong boleh menyaksikan sesi diskusi itu secara live streaming mulai jam 5 hingga 7 petang esok.

Razali menjelaskan sesi diskusi itu dicadangkan memandangkan ada pihak yang mendakwanya sebagai takut menyertai debat tersebut.

Dalam pada itu, Syed Saddiq dalam satu video yang dimuatnaik lebih awal di laman sosialnya mempertahankan tindakannya untuk tidak mendapatkan permit polis atas alasan sesi debat itu tidak melibatkan isu keselamatan awam.

"Saya dah berdebat berkali-kali. Sebelum ini sesi debat yang saya (sertai) tidak pernah terdapat masalah keselamatan. Kita bukan gunakan senjata. Kita gunakan hujah ilmiah," katanya.

-- BERNAMA