Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan bagaimanapun berkata, ia bakal memberikan implikasi besar kepada BN jika bertindak sedemikian di saat parti terbabit tidak berada di posisi dominan.
Malah menurutnya, situasi sedemikian mampu menjarakkan lagi gabungan itu dengan penyokong bukan Melayu terutamanya pengundi Cina.
“Ini akan memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam kalangan pengundi Cina.
“Justeru, saya melihat bahawa bibit-bibit BN singkirkan MCA mungkin akan berlaku,“ katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan bahawa terdapat ‘orang luar’ yang mencadangkan agar UMNO menyingkirkan MCA daripada BN.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang ‘menunggu’ keputusan UMNO untuk berbuat demikian.
Tambahan pula, baru-baru ini Timbalan Ketua Publisiti MCA Johor, Law Yiak Kwang menulis satu hantaran di Facebook dalam bahasa Cina yang merujuk kepada Akmal sebagai ‘Melayu gila’ dan ia seakan-akan mengeruhkan lagi keadaan.
Bagaimanapun, Yiak Kwang menjelaskan bahawa ia frasa biasa di media sosial bermaksud ‘Akmal yang sentiasa bertindak tidak rasional’.
Teik Cheng kemudian dilaporkan berkata, Akmal perlu merenung kembali mengenai hal orang bukan Melayu yang berpandangan negatif terhadapnya.
Jelasnya, kata-kata dan tindakan Akmal berulang kali mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menempelak kenyataan Teik Cheng dengan mengatakan perjuangannya demi mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu, bukannya bertujuan untuk disukai ramai.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub turut meluahkan pandangan sama kerana MCA hanya mempunyai dua kerusi Parlimen hari ini.
Tambah beliau, Ka Siong selaku Ahli Parlimen Ayer Hitam juga pernah beberapa kali mengkritik parti kerajaan ketika sidang Dewan Rakyat dan sindiran di media sosial sekali gus tidak mencerminkan semangat kerjasama politik dalam satu gabungan.
“Jadi, lebih baik MCA cari rakan politik baharu yang senada dengan suara mereka seperti Perikatan Nasional (PN).
“BN pula tidak perlu risau dengan undi kaum bukan Melayu kerana rakan BN dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mempunyai pengaruh terhadap pengundi bukan Melayu.
“Ia dapat membantu calon BN yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum ke-16 (PRU16) akan datang. Lagipun Kerajaan Perpaduan mempunyai lebih dua pertiga kerusi Parlimen hari ini dan lebih baik calon parti lain dalam BN dipilih bagi menggantikan kuota MCA,” ujarnya. - Sinar Harian