KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan melakukan penjenamaan semula sebagai satu daripada tiga kerangka Moving Forward dalam menyusun semula kekuatan parti dan mengukuhkan kembali sokongan rakyat.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penjenamaan semula itu mesti mencerminkan transformasi selari cabaran semasa seiring pendekatan proaktif, inklusif, dan inovatif, memandangkan BN perlu membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia menerusi naratif yang sesuai dengan kehendak zaman.

"Pendekatan Brand Humanization contohnya boleh memperkukuh usaha ini dengan menunjukkan sisi BN yang lebih mesra dan manusiawi. Pemimpin perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat. Sikap rendah hati ini akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.

"Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen, dan pengisian media sosial - sekali gus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda dan generasi digital," kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Tahun BN di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kerangka lain pula melibatkan Mentakrifkan Semula (redefine), dengan BN perlu menyusun semula hala tuju dengan visi dan misi yang jelas, selaras dengan aspirasi Malaysia yang berpaksikan masa depan serta kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan perlu mengikut kepada acuan masyarakat yang rencam dan pelbagai.

"Dahulu, pendekatan kita lebih tertumpu kepada cara tradisional dalam menyantuni rakyat. Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat. Malah, BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme," kata beliau.

Dalam aspek Menyusun Semula (Realign), Ahmad Zahid berkata selain mempererat hubungan dengan rakan politik, BN juga perlu memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat, serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.

Dalam pada itu beliau berkata parti-parti komponen dalam BN perlu bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti demi mencapai matlamat yang lebih besar iaitu kepentingan politik negara, dengan melepaskan keegoan parti masing-masing.

Ahmad Zahid berkata perkara itu merupakan antara elemen perubahan baharu yang digariskannya bagi memastikan parti itu tidak lagi terperangkap dalam nostalgia kejayaan 50 tahun lepas dan terikat dengan legasi lalu tanpa perancangan yang jelas untuk masa hadapan.

"Kalau dikaji, setiap daripada parti-parti teras pernah mengenepikan ego masing-masing. Tatkala penubuhan Barisan Nasional sendiri – UMNO ketepikan ego untuk berkerjasama dengan PAS. Begitu juga MCA... walaupun seteru... pernah bersama Gerakan dan MIC pula bersama MyPPP.

"Inilah dinamika politik negara yang berubah mengikut acuan semasa – tidak terperosok dalam ego kepartian semata-mata. Sebaliknya, kita mesti bersedia melihat dari sudut pandang yang lebih luas dan menyusun langkah demi mencapai matlamat yang lebih besar berpaksikan Politik Untuk Negara," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata elemen pembaharuan lain turut meliputi aspek meluaskan keterangkuman dengan BN tidak boleh eksklusif kepada kelompok tertentu sahaja dan tidak boleh terlalu selesa bergantung kepada sokongan kumpulan tradisional dan pengundi tegar yang tidak lagi mencukupi untuk memastikan kemenangan.

"Golongan muda, wanita, dan masyarakat pelbagai kaum termasuklah Friends of BN - perlu diberi ruang dan platform untuk terlibat sama menyuarakan suara dan aspirasi mereka di dalam menentukan hala tuju parti. Selain itu, kita harus menjuarai usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan cara menghubungkan golongan ini dengan pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO," katanya.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu juga berkata dalam mengadaptasi perubahan, BN tidak boleh lagi berada di dalam defensive mode dan haruslah melakukan anjakan dengan memanfaatkan teknologi, data, dan media sosial yang semakin mendominasi pola pemikiran politik rakyat.

"Malah, gerak kerja kita hari ini mesti diperkuat dengan data analitik dan strategi digital yang ampuh. Dalam aspek dasar pula, BN mesti terkehadapan di dalam bersuara tentang isu-isu seperti perubahan iklim, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital, kerana isu-isu ini menjadi keutamaan generasi baharu," katanya.

Sambutan bertemakan “Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa” itu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang menghimpunkan kira-kira 5,000 orang termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen dan penyokong parti dari seluruh negara.

-- BERNAMA