KUALA LUMPUR: Era baharu Barisan Nasional (BN) tidak boleh bergantung kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semata-mata sebaliknya perlu dimulakan oleh generasi muda yang memimpin gabungan berkenaan.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebelum ini ada pihak yang mendakwa bahawa gabungan tersebut telah ‘mati’.

Menurutnya, antara punca yang mendorong kejatuhan itu adalah disebabkan anak muda menolak untuk mengundi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Bagaimanapun, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada yang terus kekal setia bawa perubahan bukan sahaja kepada negara malah dalam BN.

“Alhamdulillah, kita berjaya merampas kembali (kerusi Dewan Undangan Negeri) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota dan kita menang di keseluruhan saluran anak muda.

“Maksudnya, kalau kita ada iltizam kuat, bawa gaya politik baharu dan betul, pastinya, kita mampu memberikan kepercayaan semula daripada rakyat kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sambutan Jubli Emas ke-50 BN yang berlangsung di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Pada masa sama, Muhamad Akmal menegaskan bahawa perubahan BN perlu dilakukan oleh generasi muda yang ada dalam gabungan berkenaan.

“Kita tidak ada masa lagi, perubahan itu mesti datang (bermula) daripada kita. Kalau along (Ketua Puteri BN, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi) kata ini zaman kita, tapi saya suka nak menyatakan ini zaman kita dengan cara kita,” ujarnya. - Sinar Harian