IPOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akui terdapat beberapa nama yang sesuai untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar Perak sekiranya mereka diberi mandat pada 19 November ini.

Menurutnya, beberapa individu berwibawa dan berpengalaman dilihat sesuai menduduki kerusi tersebut termasuk Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Saya selaku Pengerusi PN Negeri Perak, tidak bertanding di peringkat DUN. Namun kita ada Razman Zakaria, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Mereka ini ada pengalaman dalam kerajaan negeri.

"Mereka bukan ADUN ataupun wakil rakyat penggal pertama, mereka telah banyak pengalaman, malah jauh berpengalaman daripada saya.

"Jadi, Perikatan Nasional akan memberi beberapa nama kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak dan kita tidak mahu mendahului kuasa Sultan dalam melantik Menteri Besar Perak," katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan Manifesto PN Perak di Ipoh, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria dan Datuk See Tian Seng.

Sementara itu, Zainol Fadzi ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PN Perak kerana menamakan beliau sebagai calon Menteri Besar Perak.

Bagaimanapun, beliau akan akur dengan sebarang keputusan yang bakal diperkenankan Sultan Perak.

Sebelum ini, Pakatan Harapan menamakan calon DUN Kuala Sepetang, Datuk Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar Perak manakala Barisan Nasional menamakan calon DUN Kota Tampan yang juga penyandang, Datuk Seri Saarani Mohamad.