KUALA KRAU: Pemimpin yang bakal dipilih dan diberi mandat pada 19 November depan bagi Parlimen Kuala Krau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti diharap dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan itu.

Menurut Syaifuddin Shaharudin, 40, yang juga generasi kedua Felda Jenderak Utara, lebih ramai tenaga mahir dan golongan muda dilihat semakin meninggalkan Felda kerana kekurangan peluang di kawasan itu.

Jika dahulunya jelas Syaifuddin, Felda Jenderak Utara meriah dengan pelbagai aktiviti dalam kalangan penduduk, namun kini ia semakin suram akibat penghijrahan golongan muda ke bandar berdekatan.

"Peluang pekerjaan itu tak berapa banyak lagi lah, macam pekerjaan dan penempatan juga antara perlu diberi perhatian.

"Kalau diwujudkan kilang tu bagi saya banyak peluang pekerjaan ada. Sekarang ini sepi, tak seronok macam dulu dah," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI.

Selain berhijrah ke bandar, ada juga generasi kedua Felda jelas Syaifuddin yang menceburi bidang perniagaan demi meneruskan kehidupan mereka.

"Kena pandai-pandai sendiri lah, agak susah mula-mula itu nak berniaga. Dah lama kelamaan okay," jelasnya lagi.

Pandangan sama diluahkan Maseha Abd Manaf, 48, yang mahukan pelbagai penambahbaikan dibuat di kawasan itu.

"Kalau macam di Felda ini banyak benda kena diperbaiki, sebabnya saya tengok tak ada boleh dibanggakan dalam ini sebab pembangunan pun kurang.

"Macam peluang pekerjaan kepada orang muda pun kurang, kalau bersuara sangat nanti ada orang tak suka pada kita.

"Setiap Felda tu kena ada, macam tubuhkan kilang ke," jelasnya.

Maseha mahukan pelbagai penambahbaikan dibuat di kawasan itu. - Foto Astro AWANI

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Hanya tinggal janji Ismail Sabri sebagai PM - Dr Mahathir

SEMAK CALON PRU15 DI SINI!


Dalam PRU15, Parlimen Kuala Krau menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Mohamed Said ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Kamal Ashaari, Johari Osman (PH) dan Datuk Seri Salahuddin Salleh (GTA).

Ia melibatkan seramai 60,537 pemilih yang layak mengundi di Parlimen itu pada 19 November depan.


Pemimpin dipilih dan diberi mandat pada 19 November depan bagi Parlimen Kuala Krau, diminta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. - Foto Astro AWANI


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan kerajaan menerusi Felda menyediakan peruntukan skim jaminan kredit perumahan bagi generasi kedua Felda yang tidak mempunyai slip gaji.

Ujarnya, perkara itu terkandung dalam Bajet 2023 yang dibentangnya untuk membela nasib generasi kedua Felda di seluruh negara.

Selain perumahan kata Ismail Sabri, turut disediakan skim pinjaman bagi golongan belia memulakan perniagaan.