SEPANGGAR: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi pilihan raya terakhir bagi Norzanifiza Zakaria, 45, hadir menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal dengan menyarung uniform tentera.

Berkongsi perasaan tersebut kepada Astro AWANI, Sarjan Kor Kesihatan Diraja Tentera Darat Malaysia itu mengakui bangga sepanjang menyarung baju anggota keselamatan berkenaan.

"Bagi saya, ini yang terakhir saya mengundi sebab saya sudah mahu pencen.

"Jadi saya rasa bangga sebab menyarung baju tentera darat, ini kira terakhir lah saya mengundi di sini," katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Awal di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI sepanjang proses pengundian awal di lokasi berkenaan berlangsung dalam keadaan terkawal.

Beberapa individu yang ditemui turut melahirkan rasa teruja kerana dapat turun mengundi walaupun perlu membawa anak-anak ke pusat mengundi.



Seramai 1, 829 pengundi awal dan pasangan menjalankan tanggungjawab di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu yang terletak di bawah Parlimen Sepanggar.

Parlimen Sepanggar menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan Datuk Mohd Azis Jamman (Parti Warisan), Mustapha Sakmud (Pakatan Harapan), Yusof Kunchang (Parti Pejuang Tanah Air), Datuk Yakub Khan (Barisan Nasional) dan Jumardie Lukman (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat).

Data statistik pemilih bagi Parlimen Sepanggar adalah seramai 108,370 pengundi.

Semua Pusat Mengundi Awal di seluruh negara ditutup secara rasmi pada pukul 5 petang tadi, dengan peratusan keluar mengundi awal yang direkodkan setakat pukul 2 petang ialah sebanyak 85 peratus.