KUANTAN: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka sebagai ketua rundingan pembentukan kerajaan negeri di Pahang.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

“Perikatan Nasional (PN) Pahang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pengundi di negeri Pahang yang telah memberi kemenangan kepada PN Pahang sehingga kami berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri.

“Dalam hal ini, Majlis Tertinggi PN telah melantik YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan negeri Pahang,” jelasnya.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula

Tambah Saifuddin ketika ini PN Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri seberapa segera.

Negeri Pahang masih lagi berada dalam keadaan kerajaan tergantung selepas tiada parti mendapat majoriti mudah di negeri itu.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN memenangi 17 kerusi DUN diikuti Barisan Nasional (BN), 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH), lapan kerusi DUN.

Mana-mana parti mahupun gabungan politik memerlukan bilangan kerusi majoriti mudah iaitu 22 daripada 42 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) Pahang bersetuju menjalinkan kerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah pada Isnin.

Bagaimanapun PH Pahang masih menunggu sebarang keputusan muktamad di peringkat pusat.

Sementara itu, Sehingga kini tiada sebarang sidang media mahupun maklumkan daripada BN Pahang berhubung pembentukan kerajaan negeri itu.