Semalam kami sudah tampilkan tiga tokoh besar pemimpin parti yang akan bersaing dalam perebutan Putrajaya, iaitu Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad; Naib Pengerusi PAS, Datuk Idris Ahmad; dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang sebelumnya diselingi bicara khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malam ini, kami bawakan dua calon Perdana Menteri di pentas Agenda AWANI, bermula pukul 8.30 malam dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Satu nama yang besar dalam arena politik negara sejak berdekad lamanya, dari sosok kepimpinan kerajaan kemudian menjadi pembangkang hingga hari ini, meredah konflik demi konflik dalam pendakian mencapai impiannya.
Dalam episod Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini, beliau beralih dari Port Dickson untuk merebut kerusi di Tambun, bersama bala jenteranya cuba mengembalikan penguasaan PH menawan kembali Putrajaya.
Menyusuli jam 9 malam pula nanti adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Terkenal dengan gelaran ‘Abah’ untuk mendekati jiwa rakyat jelata, Muhyiddin mengemudi negara ketika pandemik COVID-19 dahsyat membadai selepas mengambil alih kerusi Perdana Menteri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dalam gerak langkah mempertahankan kerusi Pagoh yang didudukinya sejak 1978 dilihat ramai penganalisis sebagai bukan satu masalah besar, malah momentum kempen Perikatan Nasional di kawasan majoriti pengundi Melayu dilihat positif.
Selesai Agenda AWANI malam ini, sudikan diri untuk menonton pula dokumentari khas calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN), ‘Di Sebalik Nama Ismail Sabri’ jam 9.35 malam nanti.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO pertama sebagai Perdana Menteri sejak Ogos tahun lalu, dijangka tidak berdepan sebarang masalah mempertahankan kerusi P.090 Bera yang didudukinya sejak 2004.
Beliau menggalas sama tanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN dalam rencana parti terbesar negara itu menguasai semula Putrajaya selepas tersungkur pada PRU14.
Terus setia bersama kami di Astro AWANI, saluran pilihan raya anda bermula pukul 8.30 malam ini.