PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.

386891

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh ketika mengumumkan tarikh-tarikh penting itu berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya, Sabah akan turut diadakan serentak dengan PRU15 bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu PRU15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi Dewan Negeri Pahang, 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Perlis, dan 59 kerusi Dewan Negeri Perak.

“Pada masa yang sama, PRK DUN N.66 Bugaya, juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“Bagi maksud menjalankan PRU15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

“Tarikh Keluar Writ pada 20 Oktober; Hari Penamaan Calon (5 November); Hari Mengundi Awal (15 November) dan Hari Mengundi pada 19 November,” katanya dalam sidang akhbar PRU15 di Menara SPR, di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRU15 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 10 Oktober lalu.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Abdul Ghani memaklumkan, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 5 November (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 18 November (Jumaat).

Jelas beliau, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU15 dan PRK DUN Bugaya adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemaskini sehingga 9 Oktober.

Abdul Ghani berkata, DPPR tersebut mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih.

Peratusan Pengundi

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,905,366 orang merupakan pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis, Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan, dan 2,741 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“SPR telah melantik 222 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 orang Penolong Pegawai Pengurus.

“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

“Bagi maksud PRU15 dan PRK DUN Bugaya, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula daripada 10 Oktober untuk PRU15 dan bagi PRK DUN Bugaya bermula 13 Oktober.

Tarikh tutup bagi kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera, dan petugas media) adalah pada 2 November.

Manakala, kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) pada 23 Oktober dan kategori 1C (agensi /organisasi) pula 26 Oktober.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa 10 Oktober lalu.

Kekosongan kerusi DUN Bugaya adalah berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 Nov 2020 dan PRK DUN itu tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.