Zaleha Abdul Rahman, 75, mendakwa, dia yang tiba di pusat mengundi itu pada jam 9.55 pagi terkejut apabila petugas SPR berulang kali membuat semakan Mykad miliknya mendapati status namanya telah mengundi.
Dia yang ditemani anak perempuannya, Zuliza Ramli, 38, meluahkan rasa tidak puas hati kerana masih belum melaksanakan tanggungjawab itu.
“Mak cik pun terkejut, bukan kita tak biasa mengundi, mengundi daripada dahulu dan pertama kali jadi macam ini. Mak cik terkejut ketaq (ketar) pun. (Mak cik) berasa kecewa… kita tak boleh mengundi, siapa yang pergi undi? Mak cik pun hairan jugalah, yang kata penggundi hantu macam ini lah kot,” katanya yang ditemani anaknya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Zuliza berkata, dia dan ibunya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Sarang Semut dan berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara itu.
Dia berasa kesal kerana ibunya sangat bersemangat dan bangun seawal pukul 4 pagi untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun, gagal berbuat demikian.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, polis telah menerima sembilan laporan daripada individu yang mendakwa mereka gagal untuk membuang undi kerana kad pengenalan mereka telah digunakan oleh individu lain pada proses membuang undi PRU15.
Wan Hassan memaklumkan, dua laporan polis dibuat di Sungai Petani, dua di Baling, dua di Kubang Pasu dan masing-masing satu di Alor Setar, Yan dan Kulim.
“Dalam sembilan kesa ini, kita telah buat semakan dengan pihak SPR sekiranya memang wujud berlaku (MyKad disalah guna)… kita akan buka siasatan di bawah Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1954 dan kita akan siasat kebenaran dan tindakan lanjut akan diambil,” kata Wan Hassan.