Replika kereta kebal milik Barisan Nasional (BN) yang teguh berada di hadapan pintu gerbang Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kampung Tanjung Mukim Padang Terap Kiri, antara yang pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang melintasi jalan dari Kuala Nerang ke Padang Sanai.
Bagi perekanya, Mohd Shaiful Nizam Md Yusof, 34, idea itu tercetus selepas dia bersama beberapa rakan lain sedang memasang bendera parti.
Katanya, penghasilan replika kereta kebal merupakan simbolik kepada kenderaan digunakan untuk berperang dan mempertahankan kubu.
Menurut Mohd Shaiful, pada awalnya, dia dan rakan-rakan mengumpul duit sebagai modal dalam kalangan anak muda untuk membeli barang-barang seperti zink, papan plywood dan skru.
Katanya, mereka mengambil masa dua hari untuk menyiapkan kereta kebal terbabit.
Setelah siap dihasilkan, Mohd Shaiful dan rakan-rakannya sepakat mereka menamakan kereta kebal itu sebagai ‘Gempita 15’ yang membawa maksud riuh-rendah sempena PRU15.
“Memang rasa seronok sebab lama-lama sekali benda macam ini (pilihan raya)… memang kena buat macami ni baru syok, bagi meriah sikit. Dulu rajin ikut orang tua pasang pasang poster, pasang bendera,” katanya.
Kemeriahan mencipta replika turut dilakukan penyokong Perikatan Nasional (PN) di Unit Peti Undi (UPU) Kampung Pida 5 Atas dekat Jerlun.
Mereka yang terdiri golongan petani bergotong-royong menyiapkan wau bulan besar dan motosikal berkuasa tinggi yang dibuat daripada tayar terpakai.
“Kos yang buat ini atas keikhlasan (penyumbang)… anak-anak muda mencari buluh sendiri, dari segi upah kami tak (kena) ada upah, (kerja) atas kerelaan anak muda. Kami nak sesuatu bagi anak muda terlibat dalam program atas peryertaan mereka sendiri,” kata Rodhi Mat Isa yang juga pereka replica wau bulan PN.