BANGKOK: Warga Malaysia Chan Tze Weng yang bekerja di Pathum Thani, Thailand, berharap dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu namun, disebabkan kekangan jarak dan masa, beliau memutuskan untuk menunaikan tanggungjawabnya dengan bantuan sukarelawan.

"Saya mahu pastikan setiap undi dikira. Itulah sebabnya saya mendaftar sebagai pengundi luar negara dan memastikan undi saya tiba di tanah air tepat pada masanya," katanya kepada Bernama.

Rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara menyertai usaha membantu warga Malaysia menghantar undi pos kembali ke Malaysia mengikut masa yang ditetapkan.

Terdapat beberapa pergerakan termasuk UNDI18 dan Global Malaysia Network yang membantu rakyat Malaysia di luar negara untuk menghantar kertas undi mereka.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Kesiapsiagaan agensi di bawah KDN di tahap tinggi - Hamzah

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Yap Lu Ying yang bekerja di Bangkok sejak empat tahun lalu berkata beliau turut membantu rakyat Malaysia di sini untuk menghantar kertas undi mereka.

Beliau menetapkan tarikh dan masa untuk pengumpulan kertas undi di Bangkok sebelum membawanya pulang ke Malaysia selewat-lewatnya pada Jumaat.

Ini kali kedua beliau menawarkan diri membantu membawa pulang kertas undi rakyat Malaysia di Thailand.

Yap yang juga Pengarah Perniagaan Serantau TraXasia berkata usaha itu bagi membantu rakyat Malaysia di Thailand dapat menunaikan hak mereka.

"Saya berharap inisiatif ini akan membantu lebih banyak suara rakyat Malaysia didengar dalam pilihan raya akan datang.

"Kami juga mempunyai pengundi kali pertama dan seseorang yang kali terakhir mengundi 20 tahun lalu. Kertas undi datang dari Phuket dan Ayutthaya. Mereka mengharungi semua cabaran hanya untuk memastikan kertas undi mereka sampai kepada kami.

"Semua rakyat Malaysia mengambil berat terhadap negara kita dan mahukan Malaysia yang lebih baik," katanya.

Yap berharap lebih ramai rakyat Malaysia di tanah air akan keluar mengundi pada Sabtu.

"Tolong jangan beranggapan undi anda tidak penting," katanya.

Bagi Lana Tan Swee Lan dari Bangkok, beliau mahu rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara turut tidak ketinggalan untuk mengundi pada pilihan raya kali ini.

"Saya tahu banyak (undi pos) tidak akan sampai tepat pada masanya, oleh itu saya memutuskan untuk pulang empat hari lebih awal supaya semua kertas undi yang saya kumpul akan sampai di tanah air," katanya.

Lana mengumpul 104 kertas undi rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Thailand dan membawanya pulang ke Malaysia.

Menurut UNDI18, semua sampul kertas undi akan dibawa ke pusat pengumpulan di Kuala Lumpur untuk proses pengasingan 222 Parlimen dan 117 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dihantar ke negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA