Beliau berkata, angin perubahan itu sudah dirasai selepas beberapa hari beliau menjalankan gerak kerja dan kempen yang berterusan.
Katanya lagi, angin perubahan itu diyakini dapat menjadi ‘ribut taufan’ apabila rakyat akan keluar mengundi pada 19 November nanti.
“I will do my best, saya berjanji dengan jiwa dan raga saya. Saya telah dihantar ke kawasan sangat susah, dan sukar. Dan kalau anda (pengundi Sungai Buloh) sokong saya, I will repay your debt. Saya akan balas budi, saya akan menjadi Ahli Parlimen terbaik untuk Sungai Buloh.
“Let’s bring the wind of change. Angin perubahan itu sudah kita dirasai, dan biarlah 19 November ini (hari pengundian) ia akan menjadi ribut taufan yang membawa perubahan di Sungai Buloh,” tegasnya, sambil disambut sorakan oleh hadirin dan pengunjung di Uptown Kota Dame, di sini malam ini.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Zahid jadi PM hanya mainan parti lawan'
SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah hadir ke kawasan ini bagi membantu Khairy dalam kempennya untuk memenangi persaingan tujuh penjuru bagi Parlimen Sungai Buloh.
Dalam pada itu, Khairy berkata, naratif satu undi untuk KJ satu undi untuk orang lain adalah sesuatu yang tidak seharusnya dijadikan perhatian oleh masyarakat Sungai Buloh.
“Jangan dengar naratif satu undi KJ adalah satu undi untuk orang lain. Saya akan jaga Sungai Buloh dengan baik.
“Dan satu hari nanti Insya-Allah saya nak jadi Perdana Menteri dari Sungai Buloh. Tak payah fikir tentang orang lain,” tegasnya lagi.
Sejak nama Khairy dicalonkan di Parlimen Sungai Buloh, calon PH, Datuk R Ramanan, serta pemimpin parti itu yang lain menggesa agar masyarakat di kawasan itu untuk tidak memberikan sokongan kepada Menteri Kesihatan itu.
Mereka berkata, satu undi untuk Khairy akan membolehkan beliau menang kawasan Parlimen itu, dan seterusnya mencerahkan lagi peluang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, pimpinan kanan BN menegaskan bahawa Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih lagi kekal calon pilihan mereka untuk jawatan tersebut.