ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul dipilih menjadi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang baharu.

Pelantikan itu dibuat selepas beliau mendapat sokongan 10 ADUN Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat yang diadakan susulan pemecatan Ketua Pembangkang sebelum ini, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Johari juga mengesahkan bahawa kedudukannya dalam DUN Kedah dijangka bertukar pada Selasa susulan pelantikannya sebagai Ketua Pembangkang berkenaan.

"Surat mengenai pemilihan saya akan diserahkan ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong kepada Speaker DUN Kedah hari ini,

"Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik untuk memastikan perjalanan dewan seperti yang diharapkan, iaitu konstruktif. Kita akan jadi pembangkang yang konstruktif dan terbaik untuk negeri kita,

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih atas sumbangan diberikan Phahrolrazi sepanjang mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah sebelum ini," katanya pada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.

BACA: PRU15: Pengerusi Amanah Kedah dipecat

BACA: PRU15: 'Jangan pandang rendah, saya tidak berseorangan', kata Phahrolrazi selepas dipecat

Sementara itu, Phahrolrazi ketika ditemui mengesahkan bahawa akan berlaku pertukaran jawatan Ketua Pembangkang DUN Kedah susulan pemecatannya dari Amanah.

"Jawatan itu iaitu Ketua Pembangkang DUN Kedah saya difahamkan perlu disandang oleh mana-mana ADUN pembangkang yang berparti dan saya kini adalah seorang ADUN Bebas," jelasnya.

Phahrolrazi dilantik sebagai Ketua Pembangkang DUN Kedah pada 2020 selepas
mendapat sokongan kesemua ADUN PH di negeri itu.