KUCHING: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Batang Sadong, Rodiyah Sapiee percaya, pengalaman dalam kerjayanya sebelum ini akan membantunya 'bertempur' dalam arena politik.

Jurutera berusia 44 tahun ini yakin kepercayaan yang diberikan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepadanya sebagai salah seorang daripada lima 'Srikandi GPS'  dalam PRU15 akan dibalas dengan kemenangan.

Bagi mencapai tujuan berkenaan Rodiyah mengharapkan sokongan segenap lapisan pengundi terutamanya belia dan wanita.

“Saya pun dalam golongan muda jadi saya berharap semua pengundi muda dapat menerima dan dapat memberi sokongan 150 peratus.

“Saya ada bersama dengan tiga ADUN jadi kita akan kerjasama adakan program bersama golongan wanita, golongan muda dan semua jentera parti,” katanya ketika ditemui media selepas diumumkan sebagai calon oleh Pengerusi GPS di Ibu Pejabat PBB dekat sini pada Khamis.

Sebagai muka baharu dan salah seorang daripada lima calon wanita GPS kali ini, beliau mahu dinilai dari sudut keputusan yang dihasilkan.

Sebelum dilantik sebagai calon, Rodiyah adalah Pengurus Risiko Perusahaan di LCDS Holdings.

Dia turut memiliki sijil Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, selain memperoleh ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Rodiyah menggantikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, yang berpindah ke parlimen Santubong.

Dalam PRU kali ini, Rodiyah dijangka bertembung tiga penjuru menentang calon veteran PN-PAS, Asan Singkro dan calon PH-Amanah Lahaji Lahiya.

Untuk rekod, kerusi parlimen Batang Sadong mempunyai lebih 30 ribu pengundi.

Pada 2018, Nancy memenangi kerusi tersebut dengan mencatatkan 14,208 undi, buat menewaskan calon PH, Othman Mustapha yang sekadar membawa pulang  1,880 undi, dan calon PAS, Asan Singkro yang membawa pulang 978 undi.