KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan di negara ini digesa untuk memasang kamera papan pemuka (dashcam) sebagai langkah keselamatan penting bagi mempromosikan pemanduan berhemah dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Dalam membuat gesaan itu, Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kamera papan pemuka sangat berkesan dalam memantau tabiat pemanduan dan menyediakan bukti yang tidak berat sebelah sekiranya berlaku kemalangan.

"Kehadiran dashcam boleh bertindak sebagai pencegah kepada pemanduan berbahaya, pemanduan laju, dan tingkah laku tidak bertanggungjawab lain di jalan raya.

"Kesedaran bahawa tindakan mereka dirakam mendorong pemandu untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan lebih berhati-hati. Ini boleh mengurangkan risiko kemalangan dan mewujudkan budaya tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Lee menekankan bahawa rakaman kamera papan pemuka boleh memainkan peranan penting dalam membantu siasatan polis terhadap kemalangan jalan raya.

"Rakaman yang dihasilkan memberikan bukti yang jelas dan tidak berat sebelah, membantu menentukan kesalahan, menyelesaikan pertikaian, dan mempercepatkan siasatan. Ini bukan sahaja memastikan keadilan, tetapi juga mengurangkan beban pada sistem perundangan," katanya.

Bagi menggalakkan penggunaan kamera papan pemuka secara meluas, Lee mencadangkan beberapa langkah untuk menjadikannya mampu milik dan mudah diakses oleh semua pemilik kenderaan.

"Kami menggesa kerajaan mempertimbangkan pengecualian cukai atau subsidi untuk pembelian kamera papan pemuka bagi menggalakkan penggunaannya," katanya, sambil menambah bahawa kerjasama dengan pengeluar untuk menghasilkan model yang mampu milik dan disesuaikan untuk pasaran tempatan juga patut diterokai.

"Selain itu, pengeluar kenderaan harus digalakkan untuk memasukkan kamera papan pemuka sebagai peralatan standard dalam kenderaan baharu, manakala kempen kesedaran boleh mendidik orang ramai tentang manfaat kamera papan pemuka untuk keselamatan peribadi dan kepentingan awam," katanya.

Lee menegaskan bahawa kamera papan pemuka bukan sekadar alat perlindungan individu, tetapi juga aset penting untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan keadilan di jalan raya.

"Kami menggesa semua pihak berkepentingan termasuk pemandu, pengeluar, dan pembuat dasar untuk bekerjasama menjadikan kamera papan pemuka sebagai ciri keselamatan penting, mampu milik, dan mudah diakses bagi setiap kenderaan di negara ini. Marilah kita menuju ke arah jalan raya yang lebih selamat dengan bantuan teknologi dan tanggungjawab bersama," katanya.

-- BERNAMA