KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan kedudukan geografi negara sebagai penghubung utama dalam penjanaan elektrik, pengembangan bakat, serta mempelbagaikan rantai bekalan pada 2025.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah itu mencerminkan komitmen Malaysia sebagai peneraju kepimpinan ekonomi berasaskan nilai.

"Pada masa sama, Malaysia juga ingin mempertingkatkan kepakaran dalam bidang minyak dan gas, semikonduktor, dan kewangan Islam.

"Langkah ini bagi membolehkan kita menjadi pemimpin pasaran global dalam setiap bidang tersebut.

"Keterbukaan dan sikap neutral kita untuk menjalinkan kerjasama menjadikan Malaysia sebagai hab yang semula jadi untuk semua pihak," katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Malaysia 2025 di ibu negara hari ini.

Katanya lagi, kepimpinan ekonomi adalah mengenai memastikan asas-asas yang betul.

Ujar Anwar, ia melibatkan pematuhan kepada prasyarat pertumbuhan tinggi, inflasi rendah, dan disiplin fiskal.

Tambahnya, ini juga merupakan cara untuk memperjuangkan nilai-nilai yang menyokong struktur ekonomi negara berasaskan keadilan, populasi yang bertenaga, dan semangat keusahawanan.