IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak yakin calon yang menggantikan Datuk Mohd Kazim Elias di Parlimen Larut mampu menggalas tanggungjawab untuk merampas semula Parlimen Larut.

Calon yang mengisi tempat itu ialah Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, 37, yang merupakan Ketua Koordinator Komunikasi BN merangkap Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut,

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau mendapat maklumat, jentera BN Larut akan bertungkus-lumus untuk memenangkan Parlimen Larut dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kubu Gajah, Selama dan Batu Kurau.

"Shafiq Fhadly seorang jurutera petroleum. Dia bekerja di bawah Datuk Syamsul dalam BN Comm, mempunyai kebolehan sebagai orator dan sebagainya. Kita lihat dia adalah calon muda yang boleh diketengahkan, umur baru 37, jadi mengapa tak kita letakkan di Larut. Dia pun dianggap sebagai giant candidate juga. Dia orang tempatan, budak muda," ujar Saarani.


Beliau ditemui selepas mengumumkan calon BN Perak di Casuarina Hotel, Ipoh, pada Rabu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan kira-kira jam 1 pagi tadi bahawa Ustaz Kazim menarik diri.

Sementara itu, Mohd Shafiq Fhadly berkata, dia yang mulanya dicalonkan di Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah, dimaklumkan mengenai pertukaran ini, kira-kira jam 7 pagi.

"Saya sangat menganggap itu adalah amanah yang terbesar kepada saya. Ini Amanah rakyat di Larut. Kita mahu kembalikan maruah BN di Larut.

"Rakyat memberikan mandat kepada BN pada PRU14 tetapi kita dikhianati, dan inilah peluang rakyat menghukum mereka yang mengkhianati dan memulangkan semula mandat kepada BN supaya dapat buat perubahan sebenar kepada rakyat di Larut," ujarnya.