Datuk Doris Sophia Brodie yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata beliau akan menggunakan tempoh berkenaan semaksimum mungkin bagi mendekati pengundi yang bakal memilih wakil rakyat mereka pada 19 November ini.
“Ya.Saya memang sudah sah menjadi calon tetapi masih belum sah untuk menjadi wakil rakyat.
“Berbaki 16 hari lagi saya akan bekerja keras untuk memastikan bahawa saya berjaya menawan hati pengundi untuk menyokong GPS di Sri Aman,” ujarnya.
Tambah Doris, fokus utama ketika ini adalah untuk menarik sokongan pengundi baru demi memahami aspirasi GPS dalam memperjuangkan hak negeri Sarawak.
“Fokus utama saya adalah kepada pengundi baru yang berjumlah sekitar 17,000 daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah sekitar 50,000 pengundi,” katanya.
Doris dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara pada 26 Januari 2012 dan mencipta sejarah menjadi wanita pertama dilantik sebagai senator mewakili Sarawak pada 12 Mac 2010.
Untuk rekod, Sri Aman adalah kerusi tradisi Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang sebelum ini disandang Datuk Masir Kujat atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU 14.
Masir bagaimanapun meninggalkan PRS dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Mac 2019 sebelum mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parlimen Bebas.