Barisan Nasional (BN) meraih majoriti mudah begi membentuk kerajaan negeri Sarawak buat penggal ke-11 berturut-turut setelah memperoleh 42 kerusi pada pukul 8.40 malam pada Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 hari ini.

Setakat ini, pembangkang memperoleh enam kerusi iaitu DAP empat dan dua oleh PKR.

Antara meraih kemenangan awal ialah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang berjaya mempertahankan kerusi Tanjung Datu dengan 6,360 undi.

IKUTI LAPOR LANGSUNG #SARAWAK2016 DI SINI


Adenan mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hilang deposit setelah meraih 468 undi.

Presiden Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing mengekalkan kerusi Baleh dengan mengalahkan calon DAP, Agop Linson dengan majoriti 4,793 undi.

Pada hari penamaan calon, 25 April lepas, BN menang dua kerusi - Bukit Sari dan Bukit Kota - tanpa bertanding.

Pada 2011, BN menang 55 daripada 71 kerusi, DAP (15), PKR (3) dan satu oleh calon Bebas.