BETULKAH Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963? Tanggal 22 Julai diisytiharkan sebagai Hari Sarawak dan cuti umum mulai 2016 di sebalik sentimen nasionalisme negeri yang menggelegak ketika itu.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ketika membuat pengumuman tersebut berkata, tarikh berkenaan dipilih sempena kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British. Beliau berkata, ini adalah bagi mengingati jasa dan pengorbanan pemimpin dan pejuang kemerdekaan Sarawak.

Sepuluh atau 20 tahun lalu tarikh berkenaan tidak dipedulikan sangat oleh pemimpin dan rakyat Sarawak. Namun, kini tarikh 22 Julai 1963 memberi semangat besar kepada anak Sarawak hari ini. Bagi mereka, tarikh ini lebih penting dan utama daripada perayaan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun. Dari satu segi, ini ada kebenarannya kerana Malaysia hanya dibentuk pada 1963. Bagi 2.8 juta rakyat Sarawak, Hari Sarawak pada 22 Julai mengentalkan rasa cinta mereka kepada Sarawak dan haknya dalam Persekutuan Malaysia.

Oleh itu, apakah sebenarnya tarikh ini dan bagaimana ia dilihat penting di Sarawak? Bagaimana pula ia muncul? Persoalan-persoalan seumpama ini boleh menjadi berkaitan kepentingan tarikh ini.

Namun, sekurang-kurangnya dua orang sejarawan dan ahli akademik terkemuka pernah menyatakan 22 Julai 1963 bukan tarikh kemerdekaan seperti diandaikan ramai orang. Prof Michael Leigh, yang terkenal dengan kajiannya tentang politik Sarawak dalam buku hasil tesis PhD beliau, The Rising Moon mendedahkan bahawa tarikh tersebut ialah hari kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk.

Leigh yang mulai menyelidik tentang politik dan sejarah sarawak sejak 1962 menyatakan Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963 adalah tidak tepat. Namun, kata profesor sejarah politik itu lagi, gabenor British masih memegang kuasa penuh hingga 16 September 1963.

Beliau banyak menggunakan dokumen di Australia dan London untuk penyelidikannya, termasuk fail yang baru dibuka.

Sesiapa yang hendak menyelidik sejarah Sarawak, bukan hanya perlu bergantung kepada sumber tempatan, tetapi dokumen yang kini disimpan di arkib di London.
Setakat ini memang tidak ada sumber dan bukti yang mengesahkan, kemerdekaan Sarawak dicapai sebelum 16 September. Hakikatnya, 22 Julai pasti tidak ada jika tidak ada 16 September 1963.
Maksudnya, 22 Julai diberi kerana sebagai persediaan kemerdekaan 16 September, atau sebenarnya 31 Ogos, jika ikut perancangan asal.

Prof Leigh menegaskan, Sarawak sebenarnya tidak memperoleh kemerdekaan pada tarikh tersebut. Apa makna ini?

Ia bermaksud bahawa penduduk peribumi hanya diberi tanggungjawab mentadbir negeri mereka sendiri oleh penjajah. Namun kedaulatannya masih lagi belum diserahkan oleh penjajah. Ini amalan biasa dalam jajahan British kerana pihak British tidak memberi kemerdekaan terus kepada tanah jajahannya, sebaliknya melatih penduduk tempatan untuk berkerajaan sendiri.
Datuk Dr Sanib Said, sejarawan tempatan berkelulusan PhD, mempunyai pendapat yang sealiran dengan Prof Leigh.

Bagi Dr Sanib, adalah satu kesilapan jika kita memikirkan 22 Julai sebagai hari kemerdekaan. Beliau berkata bahawa terdapat kesilapan fakta dan andaian mengelirukan, terutamanya akhbar dan media sosial.
Namun, Hari Sarawak yang disambut di Bintulu pada hari ini oleh Kerajaan Sarawak mempunyai kepentingan tersendiri. Selain sebagai usaha mengingati jasa dan sumbangan pejuang dna pemimpin terdahulu, ini peluang terbaik untuk rakyat menjadikan hari ini sebagai cermin.

Apakah pencapaian Sarawak sejak 56 tahun lalu? Apa pula kesilapan dan kelemahannya? Tarikh penting dan sejarah dapat dijadikan pelajaran berguna jika kita sedia membuka minda dan hati kita. Hari ini tidak sepatutnya hanya dijadikan sebagai cuti umum, tetapi tarikh untuk rakyat benar-benar memahami ke mana hala tuju Sarawak selepas ini?

Bagaimana pula perjuangannya untuk menuntut hak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963? Apakah cara terbaik untuk menuntut hak berkenaan? Adakah secara berseteru dengan kerajaan persekutuan atau pendekatan lebih berkompromi?

Hari Sarawak perlu dilihat dalam konteks Hari Malaysia, iaitu ketika Malaysia dibentuk pada 1963. Tidak akan ada Hari Sarawak atau 22 Julai yang bersejarah jika tiada usaha untuk menggagaskan pembentukan Malaysia pada 1963.

Jadi, Hari Sarawak dan Hari Malaysia sama-sama penting, malah Hari Kebangsaan juga tidak harus diremehkan.

Tarikh-tarikh berkenaan ialah tarikh penting dalam konteks kita melangkah ke hadapan sebagai negeri dan negara yang maju, aman, stabil dan makmur. Sementara semangtat nasionalisme negeri itu penting, usaha membina negara bangsa dengan memupuk integrasi nasional juga tidak kurang pentingnya di bawah sistem federalisme yang kita amalkan ketika ini.

Jadi, kita perlu meraikan Hari Sarawak dengan penuh kesedaran tentang kepentingan sejarahnya.
Kita juga perlu meraikannya dengan rasionaliti yang berimbang dan tidak mudah terperangkap dan terpedaya oleh naratif politik yang songsang dan bercanggah dengan aspirasi negara dan pembinaan negara bangsa.

Selamat menyambut Hari Sarawak.


* Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI