KUALA LUMPUR:Pas disifatkan sebagai ‘titik tengah’ dalam peranannya meredakan ketegangan hubungan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO daripada peringkat kepimpinan tertinggi sehingga ke bahagian dan cawangan.

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata usaha untuk mewujudkan keakraban di antara kedua-dua parti tersebut barangkali dapat menjernihkan hubungan di antara kedua-dua parti tersebut, khususnya sayap pemuda kedua-dua parti itu yang tidak sependapat dalam beberapa perkara.

“Pas ialah ‘titik tengah’ kepada hubungan di antara Bersatu dan UMNO.

“Dengan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan pada masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN), insya-Allah ada titik pertemuan supaya berlakunya pertembungan satu lawan satu di antara kerajaan atau PN dan sekutnya apabila bertembung Pakatan Harapan (PH) (pada pilihan raya akan datang),” katanya dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Ahad.

BACA: Bersatu guna logo Perikatan Nasional dalam PRU15 - Muhyiddin Yassin


Dalam perkembangan berkaitan, Khairil berkata PN sudah mengadakan Majlis Presiden secara berkala bagi membincangkan perkara berhubung dasar yang sesuai dengan kehendak parti masing-masing.

“Perbincangan (pengagihan) kerusi telah berlaku tetapi ia bukan sesuatu yang dihebohkan.

“Dalam masa yang singkat ini, pembahagian kerusi ini akan berakhir,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang berlangsung pada Sabtu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru kepada semua pemimpin Melayu dan Islam untuk bersatu dalam sebuah jemaah yang besar di bawah PN.

BACA: Hubungan Bersatu - UMNO: "Alangkah baik jika semua pemimpin Melayu, Islam dapat bersatu" - Muhyiddin

BACA: Muhyiddin, Zahid Hamidi bertemu, berbincang dari hati ke hati

Sebaliknya, jika berpecah belah, jelas Muhyiddin, seruan perpaduan Melayu dan penyatuan ummah akan menjadi retorik semata-mata.


Beliau mengajak semua parti politik Melayu untuk ketepikan perbezaan dan pertaut silaturahim, tidak berpecah belah dan mementingkan kabilah dan kelompok.