TEMERLOH: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa yakin parti itu adalah pilihan yang tepat untuk memimpin ummah di Malaysia.


Ringkasan AI
  • Tan Sri Annuar Musa yakin bahawa Pas adalah pilihan yang tepat untuk memimpin ummah di Malaysia kerana sejarah perjuangan dan kepimpinan yang konsisten.
  • Dalam ucapan penggulungan pada Muktamar PAS ke-70, Annuar menyatakan bahawa lebih baik menjadi orang kecil dalam bahtera yang selamat daripada orang besar dalam kapal yang tidak selamat.
  • Annuar memuji jentera pilihan raya Pas yang lebih tersusun dan menyeru Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) untuk membuka lebih banyak ruang kepada pelbagai kaum sebagai simbol transformasi besar Pas.


Ini kerana, menurut beliau, Pas dilihat sebagai badan politik tanah air yang mempunyai sejarah perjuangan konsisten serta kepimpinan yang teguh dalam menghadapi cabaran.

"Sebagai seorang yang kecil dalam bahtera yang besar, kerana biarlah seperti selalu saya katakan, daripada menjadi orang besar dalam kapal tidak selamat, lebih baik menjadi orang kecil dalam bahtera yang dipandu dengan selamat menuju kepada destinasi yang betul," kata Annuar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Muktamar PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini.

Annuar turut menyifatkan Pas sebagai parti yang konsisten dalam perjuangannya, dengan ahli yang berpegang teguh kepada prinsip dan dasar Islam.

Pada masa sama, Annuar turut memuji jentera pilihan raya Pas yang disifatkannya lebih tersusun dan kemas berbanding parti-parti lain yang pernah beliau sertai sebelum ini.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung UMNO ini juga menyeru agar Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) membuka lebih banyak ruang untuk pelbagai kaum, sebagai simbol transformasi besar Pas yang melangkaui batasan perkauman.