Perkara itu didedahkan pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.
"Terima kasih Mohamed Nazri kerana ajak saya dan belanja makan hari ini. Terima kasih juga kerana menjadi ahli MN serta memberi dukungan kuat terhadap NGO MN.
"MN akan kekal sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dan keanggotaannya dibuka kepada semua pihak daripada pelbagai parti, kaum, agama serta budaya.
"MN mengutamakan nilai kesederhanaan dan kasih sayang, perpaduan yang bertunjangkan perpaduan pribumi serta saling menghormati dalam konteks masyarakat berbilang bangsa," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Mohamed Nazri dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana mempunyai pengalaman yang luas sebagai anggota pentadbiran negara.
Menurut Kementerian Luar Negeri (KLN), beliau yang juga merupakan graduan Lincoln's Inn di United Kingdom pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Mohamed Nazri juga berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dari 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018). - Sinar Harian