LONDON: Kira-kira tujuh juta orang dewasa di UK memiliki aset kripto, menurut anggaran pengawal selia kewangan negara itu.

Satu daripada lapan atau 12 peratus orang dewasa di UK memiliki mata wang kripto, meningkat daripada 10 peratus (sekitar 5 juta orang dewasa) pada 2022, menurut Pihak Berkuasa Kelakuan Kewangan (FCA).

Secara purata pegangan mata wang kripto berjumlah GBP1,842 (US$2,307), lapor PA Media/dpa.

Kaedah utama pembiayaan aset kripto dalam kalangan pengguna kekal sebagai wang tunai/pendapatan boleh guna individu (72 peratus).

Kesedaran mengenai aset kripto didapati tinggi dalam kalangan rakyat UK dengan 93 peratus mengakui mereka mengetahuinya melalui kajian terbaru.

Media tradisional adalah sumber utama pertama orang awam mengetahui tentang aset kripto, menurut kajian itu, dengan berita dalam talian termasuk blog dan forum berkongsi tempat kedua bersama media sosial.

Dalam kalangan pengguna kripto, rakan dan ahli keluarga didapati sebagai sumber maklumat paling biasa untuk pertama kali mendengar tentang aset kripto.

Kira-kira sepertiga daripada orang ramai berkata mereka percaya mereka boleh mengemukakan aduan kepada FCA jika berlaku sebarang masalah dan sedang mencari jalan penyelesaian atau perlindungan kewangan.

Namun, pengawal selia berkata walaupun beberapa peraturan telah diterapkan, aset kripto masih sebahagian besarnya tidak terkawal di UK dan berisiko tinggi.

Jika berlaku sebarang masalah, orang ramai diingatkan mengenai risiko kehilangan semua wang mereka.

Kajian ini dijalankan untuk FCA oleh YouGov pada Ogos, melibatkan temu bual dengan lebih 2,000 individu yang mewakili populasi dewasa di UK serta fasa kedua temu bual dalam kalangan kira-kira 1,000 orang dewasa yang telah menggunakan aset kripto.

Menurut FCA, ia terus mengawasi aktiviti aset kripto di UK dalam lingkungan bidang kuasanya.

Susulan perubahan dalam perundangan, FCA telah memperkenalkan rejim promosi kewangan aset kripto untuk membantu orang ramai membuat keputusan kewangan yang lebih berinformasi.

Matthew Long, pengarah pembayaran dan aset digital di FCA, berkata: "Hasil kajian menunjukkan keperluan untuk peraturan yang jelas bagi menyokong sektor kripto yang selamat, berdaya saing dan mampan di UK."

"Kami ingin membangunkan sektor yang menyokong inovasi dan didasarkan oleh integriti pasaran serta kepercayaan pengguna."

"Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan, rakan kongsi antarabangsa, industri dan pengguna untuk membantu kami menetapkan peraturan yang tepat untuk masa depan."

-- BERNAMA