KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand mengukuhkan hubungan bilateral dengan rancangan bercita-cita tinggi untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027, sambil mengutamakan promosi dan kemudahan perdagangan rentas sempadan yang lebih besar dalam sektor utama.


Ringkasan AI
  • Malaysia dan Thailand menetapkan sasaran perdagangan dua hala AS$30 bilion menjelang 2027, dengan fokus pada perdagangan rentas sempadan, industri halal, dan getah.
  • Projek infrastruktur seperti Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dan jajaran jalan ICQS Bukit Kayu Hitam-CIQ Sadao dijangka meningkatkan perdagangan, pelaburan, dan pelancongan.
  • Kerjasama diperluas dalam keselamatan, ekonomi digital, pelancongan, dan budaya, termasuk MoU baharu serta usaha ke arah keamanan di Wilayah Sempadan Selatan Thailand.


Lawatan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia pada 15 hingga 16 Disember atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memangkin usaha baharu untuk memupuk kerjasama ekonomi dan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

Duta Thailand ke Malaysia Lada Phumas berkata kedua-dua negara mengutamakan promosi dan kemudahan perdagangan rentas sempadan yang lebih besar, khususnya dalam industri halal dan getah.

Lada dalam kenyataan bertulis kepada Bernama susulan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia berkata satu pasukan petugas bersama mengenai pertanian dan keselamatan makanan, termasuk kerjasama halal, sedang dipercepatkan untuk meningkatkan peluang ekonomi.

Beliau berkata kesalinghubungan rentas sempadan kekal sebagai asas kepada hubungan dua hala dengan projek infrastruktur memainkan peranan penting.

Lada menekankan kemajuan dua projek infrastruktur utama, iaitu Jambatan Kedua yang menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat serta jajaran jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang baharu.

"Projek-projek ini akan memudahkan aliran rentas sempadan barangan dan penumpang, meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

"Pusat pemeriksaan adalah penting kepada ekonomi tempatan, dengan ICQS Bukit Kayu Hitam - CIQ Sadao menyumbang kira-kira 33 peratus daripada jumlah perdagangan sempadan Thailand," katanya.

Menurut Lada, jajaran jalan yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao dijangka siap menjelang 2025, di samping perbincangan berterusan mengenai memorandum persefahaman (MoU) untuk pengangkutan rentas sempadan barangan dan penumpang bagi meningkatkan lagi integrasi serantau.

"Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Malaysia) menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk mempercepatkan perbincangan untuk memuktamadkan MoU ini yang akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dua hala dan kesalinghubungan antara rakyat di sepanjang sempadan. Ini sebenarnya boleh menyumbang kepada integrasi serantau ASEAN kita," kata Lada.

Sambil menekankan kepentingan ekonomi digital, beliau berkata kedua-dua negara harus memanfaatkan sepenuhnya potensi MoU antara Agensi Penggalakan Ekonomi Digital (DEPA) Thailand dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang dimeterai pada 2003.

"Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam menyokong syarikat teknologi berpotensi di kedua-dua negara," katanya.

Dalam menekankan peranan sektor swasta dalam memacu perdagangan dan pelaburan, Lada berkata: "Saya menggalakkan perniagaan Thailand dan Malaysia untuk melibatkan diri dalam dialog yang lebih kerap seperti pameran perdagangan, pameran dan mesyuarat."

Menurut Lada, teras perbincangan antara Paetongtarn dan Anwar ialah komitmen untuk meningkatkan kerjasama politik dan keselamatan, dengan tumpuan khusus untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan memupuk keamanan di Wilayah Sempadan Selatan (SBP) Thailand.

Beliau berkata sempadan kedua-dua negara kekal sebagai asas kepada hubungan dua hala dengan Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengukuhkan usaha dalam pengurusan sempadan serta menangani isu seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, jenayah siber, keganasan antarabangsa dan ekstremisme.

"Kerjasama itu akan merangkumi perkongsian maklumat dan risikan, selain menggalakkan kesederhanaan dan amalan terbaik dalam program deradikalisasi," katanya.

Menurut Lada, pemimpin Malaysia dan Thailand turut membincangkan keperluan untuk meningkatkan koordinasi antara penguatkuasa undang-undang dan agensi pengurusan sempadan untuk menangani cabaran baharu yang muncul seperti penipuan pekerjaan dalam talian dengan respons yang tepat dan berkesan.

Kedua-dua Perdana Menteri memuji kemajuan positif dalam Proses Dialog Damai yang sedang berlangsung di Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBP).

"Pembangunan Pelan Komprehensif Bersama ke Arah Keamanan (JCPP) mencerminkan kepercayaan dan keyakinan bersama yang dikongsi oleh kedua-dua pihak, menyediakan peta hala tuju untuk mewujudkan persekitaran kondusif untuk keamanan yang berkekalan," katanya.

Lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian dua MoU - satu mengenai kerjasama dalam industri getah dan satu lagi mengenai pertukaran budaya.

Dari segi budaya, Lada berkata Thailand dan Malaysia bersetuju memperkukuh hubungan melalui inisiatif seperti ASEAN Heritage Train dan projek kerjasama lain.

Kerjasama pelancongan di bawah inisiatif "6 Negara, 1 Destinasi" turut menonjol dalam hubungan dua hala, merangkumi pelbagai aktiviti untuk memudahkan lintasan sempadan, menyelaraskan kempen promosi dan meningkatkan kesalinghubungan perjalanan.

"Ini bukan hanya promosi pelancongan dua hala tetapi juga kerjasama menang-menang bagi semua negara yang mengambil bahagian dan seterusnya," katanya.

-- BERNAMA