JERANTUT: Pas dijangka membuat beberapa pindaan perlembagaan antaranya melibatkan keahlian individu bukan Islam menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu, pada Muktamar Pas ke-70.

Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata perkara berkenaan akan dibentangkan esok, sebelum dibahas dan diluluskan dalam muktamar itu.

"Pindaan perlembagaan dibuat beberapa perkara...perkara pokok ialah orang bukan Islam minta jadi ahli biasa sedangkan Pas hanya orang Islam boleh jadi ahli, sebab itu kita ada DHPP (Dewan Himpunan Pendukung Pas)...nak pinda itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali ke-63, di Kompleks Imam Syafie' Kampung Temin di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Ahmad Yahaya.

Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-70 bermula Rabu, dengan acara kemuncak pada esok dan Ahad di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, Temerloh.

Sementara itu, Hashim menzahirkan agar Dewan Ulama menunjukkan dan menjadi contoh yang baik kepada ahli Pas yang lain dalam aspek perpaduan.

-- BERNAMA