ADAKAH kepedulian dan kebajikan orang Melayu-Muslim akan terancam kalau mereka tidak ‘bersatu’ dan Kerajaan Persekutuan baharu tidak lagi didominasi oleh parti-parti yang ekslusifnya mewakili Melayu-Muslim?

Cerita sebegini sudah ditularkan dan akan ditularkan lagi sehingga saat akhir sebelum pusat mengundi ditutup pada 6 petang Sabtu.

Sejauh manakah kegelisahan yang sengaja diapi-apikan ini berasas? Benarkah kepedulian dan kebajikan pengundi Melayu-Muslim mungkin terancam di bawah kerajaan campuran yang berlainan?

Parlimen tergantung dan kerajaan campuran bermakna tiada gabungan dan parti yang dapat memenangi majoriti mudah atas kaki sendiri.

Bila majoriti mudahpun perlu sokongan daripada gabungan atau parti lain, tak kisahlah mana-mana gabungan yang menerajui Kerajaan Persekutuan baharu, beranikah mereka meminda Perlembagaan atau dasar-dasar kerajaan asas tanpa muafakat kebangsaan?

Sebarang perubahan yang mendadak dan tanpa sokongan meluas bukan saja akan gagal, malah mungkin menjatuhkan kerajaan yang terlalu ghairah mengejar perubahan.

Oleh itu, kalau pengundi Melayu-Muslim takutkan sebarang perubahan yang mendadak, maka PRU15 adalah rahmat yang cukup menenangkan. Kegelisahan mereka tidak akan menjadi kenyataan.

Untuk sebarang perubahan besar yang diperlukan, Kerajaan Persekutuan baharu mesti melakukan dua perkara. Pertama, rundingan dengan semua parti di Parlimen, tak kira dalam kerajaan campuran atau pembangkang. Kedua, libat urus yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara untuk membina muafakat di peringkat rakyat.

Ini bermakna perubahan akan berlaku dengan langkah yang lebih lambat tetapi mantap. Bukankah ini yang diperlukan semua rakyat Malaysia, tak kira keturunan dan kepercayaan?

Dalam penggal lima tahun yang akan datang, kita akan menghadapi tiga krisis yang sudahpun bermula.
Pertama, krisis ekonomi yang merangkumi kejatuhan ringgit, kenaikan harga, kesuraman pasaran, kenaikan pengangguran atau kestagnanan gaji. Terikat dengan isu ini ialah mutu pendidikan dan daya persaingan peribadi.

Kedua, krisis alam sekitar yang membawa pelbagai cabaran daripada perubahan cuaca, kenaikan aras laut, pengecutan hutan, kepupusan spesies sampai ke pencemaran plastik.

Ketiga, krisis kesihatan yang belum bersurut sepenuhnya dengan COVID-19 malah mungkin mendalam jika penyakit zoonotik (yang berjangkit melalui haiwan) baru muncul.

Daripada COVID-19, banjir kilat dan juga kejatuhan ringgit, kita sudah tahu bahawa malang tidak mengenal keturunan atau keimanan.

Semua anak Malaysia bagaikan penumpang di atas kapal yang sama. Tiada yang terselamat kalau kapal ini tenggelam, sama ada kerana ombak besar atau rasuah besar yang memakan kapal seperti anai-anai.

Pilihan raya adalah temu duga seluruh umat kapal memilih nakhoda, dan Parlimen tergantung sudah menjamin bahawa nakhoda baru mesti berunding dengan semua pihak sebelum mengubah hala tuju atau memperbaiki kapal.

Maka, kepedulian dan kebajikan pengundi Melayu-Muslim tidak terancam kalau Kerajaan Persekutuan baharu merangkumi pelbagai kaum.

Ia hanya terancam jika pengundi Melayu-Muslim sebagai kumpulan pengundi terbesar gagal memilih secara bebas dan bijak nakhoda yang berupaya dan bersih, untuk membawa kapal Malaysia ke depan mengatasi rintangan krisis dan maju dalam lautan persaingan global.

Semua parti seharusnya bersaing dengan menonjolkan bakat menakhodai Malaysia, bukan dengan mengapi-apikan ketakutan seolah-olah sendiri ketandusan bakat.

Selagi orang Melayu dan rakyat Malaysia lain bebas dan bijak memilih, maka insya-Allah, selamatlah orang Melayu dan juga seluruh Malaysia.

Sakit ambil masa dipulih,
Sedih ambil masa bertamat,
Selagi bebas dan bijak memilih,
Kita dan negara semua selamat.


* Prof Wong Chin Huat ialah penganalisis politik.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.