KUALA LUMPUR: Kelesuan politik yang berlaku dalam kalangan rakyat ketika ini berpunca daripada keengganan ahli politik untuk menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Justeru, Penganalisis politik Sunway University, Prof Wong Chin Huat berkata, satu cara untuk menarik minat rakyat keluar mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang ialah dengan memberi kefahaman bahawa undi mereka akan menentukan kestabilan politik, sekali gus menghantar isyarat jelas agar semua pihak menerima keputusan PRU15.

"Di negara demokrasi lain, mereka ada tempoh empat atau lima tahun untuk kerajaan berfungsi dan mentadbir negara, pembangkang pula jalankan semak dan imbang. Di penghujung tempoh itu barulah pembangkang cuba rebut kuasa dalam pilihan raya.

"Tetapi di Malaysia, kempen bermula sebaik selepas PRU15 yang lepas. Ini yang membuatkan pengundi muak.

"Jadi mereka perlu tahu dan faham yang mengundi akan membawa kepada kestabilan dan setiap undi mereka sangat penting.

"Apa yang kita perlu dalam institusi reformasi yang lebih berani, ialah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang berpenggal tetap," katanya ketika muncul sebagai tetamu program Fokus Minggu Depan, pada Sabtu.

Jelasnya lagi, berbeza dengan PRU15, di mana anak muda tahu undi mereka akan jadi penentu siapa bakal menerajui kerajaan, sentimen mungkin berbeza dalam PRN.

Ini kerana ramai yang beranggapan undian dalam PRN tidak memberi signifikan terhadap jalur politik negara.

"Memang bergantung pada kumpulan pengundi mana yang akan keluar memandangkan peratusan yang rendah pada PRU15.

"Jadi, terpulang pada pengundi atas pagar, sama ada mereka akan keluar mengundi. Pengundi tegar parti atau gabungan sudah pasti akan keluar, melainkan mereka yang duduk di luar negeri atau kena ambil kira juga mereka yang menunaikan ibadat haji.

"Kalau peratusan pengundi rendah, yang yang untung dan siapa yang terhukum bergantung kepada parti mana yang dapat (tarik) kumpulan pengundi atas pagar ini," katanya lagi.