KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) perlu memandang ke hadapan dan mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asian Strategy and Leadership Institute, Prof Wong Chin Huat, sentimen 'kembalikan mandat rakyat' tidak lagi relevan ketika ini.

"Pengajaran yang perlu diambil oleh Pakatan Harapan ialah lupakan Pilihan Raya Umum ke-14 dengan mengulangi (sentimen) mengenai mandat rakyat.

"Apa yang terdapat dalam PRN Melaka ialah mandat itu telah dikemas kini.

"Kalau PH ingin menang lagi, mereka perlu mencari satu alasan lebih baik daripada mengenang masa lepas," ujar beliau.


BACA: [LAPOR LANGSUNG] [RASMI] BN menang dengan majoriti dua pertiga kerusi


BACA: RASMI: Sah! BN tawan semula Melaka


Jelasnya lebih lanjut, langkah untuk menampilkan wakil rakyat yang 'melompat parti' dalam pemilihan kali ini juga dilihat sebagai tindakan yang tidak berhasil.

"Paling teruk apabila PH mengharapkan ADUN yang melompat (parti) untuk mengembalikan kuasa. Apa yang dilihat di sini, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

"Jadi PH perlu fikir ke hadapan, tanya bagaimana mereka boleh memberikan persaingan yang berkesan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN) serta tidak lagi bergantung kepada ketidakpuasan hati terhadap UMNO dan tidak lagi mengambil perhitungan opportunistic," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.

BN dilaporkan memenangi sekurang-kurangnya 20 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Melaka dengan majoriti dua pertiga kerusi pada PRN Melaka.

Sementara, PH pula mendapat lima kerusi dan Perikatan Nasional, dua kerusi.