Ada khabar terdapat usaha untuk mempengaruhi undian yang akan dibuat perwakilan dalam Pemilihan UMNO kali ini.

Namun, calon Presiden UMNO 2018, Khairy Jamaluddin tidak dapat memastikan kesahihan berita yang diterimanya.

"Saya ada dengar. Namun, saya harap ia tidak benar.

"Walau apa pun, saya berharap perwakilan akan memilih berdasarkan suara hati mereka demi kebaikan UMNO," kata beliau selepas menyertai Debat Presiden UMNO yang dianjurkan Astro AWANI pada Jumaat.


Apabila ditanya sejauh mana budaya politik wang sudah dibanteras dalam parti, Khairy menjawab beliau percaya amalan tersebut telah dikurangkan secara signifikan.

"Saya harap perwakilan akan membuat keputusan yang tepat agar perubahan dapat dilakukan supaya UMNO dapat semula keyakinan rakyat," kata beliau.


Selain Khairy, calon-calon Presiden UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir di dalam program khas 'Debat Presiden UMNO 2018' anjuran Astro AWANI pada Jumaat malam.