KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta 355 perlu atas pelbagai faktor penting, termasuk kesesuaian dan praktikaliti hukuman.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, semua negeri mempunyai enakmen kesalahan jenayah syariah sendiri yang harus diteliti dari aspek nilai hukuman serta keadilan.

“Dari segi praktikal, adakah denda RM5,000 itu boleh beri kegerunan kepada pesalah syariah?

“Kalau diikutkan dalam aspek keadilan, orang Islam sepatutnya berhak dapat perlindungan yang setaraf dengan bukan Islam.

“Akta 355 ini bukan saja terhad pada kesalahan syariah tapi undang-undang keluarga juga,”katanya dalam program Agenda AWANI, pada Selasa.

Jelasnya, apa sahaja pindaan terhadap akta itu perlu berjalan selari dengan persediaan mereka yang bertanggungjawab melaksanakannya, seperti mahkamah syariah, pegawai penguatkuasa agama dan peguam syarie.

Ini kerana perbezaan undang-undang negeri sudah sedia kompleks dan boleh mengundang polemik yang lebih besar jika tidak dirancang dengan baik.

“Kalau kita letak denda RM100,000 dan had hukuman kita serahkan kepada negeri, mungkin selepas itu akan ada negeri yang tidak laksanakan RM100,000 sebagai jumlah maksimum.

"Ada negeri mungkin setakat RM70,000 sebagai jumlah maksimum, mungkin ada pula negeri yang cakap RM100,000 terlalu banyak. Jadi ini akan menimbulkan kecelaruan.

“Kita perlu ingat kejayaan kerjasama persekutuan dan negeri telah berjaya mewujudkan sekurang-kurangnya tiga enakmen atau akta.

“Hampir semua sudah hampir seragam, yang belum seragam ialah enakmen kesalahan jenayah syariah.

"Kita boleh nampak ada kesalahan, contohnya masuk ratu cantik di Sabah adalah satu kesalahan tapi peruntukan sedemikian tiada di negeri lain.

“Perkara ini boleh jadi polemik, sehinggakan menimbulkan pertanyaan adakah Islam itu ada hukum yang berbeza-beza,” ujarnya.

Agenda AWANI: Pindaan RUU 355