Berbaki tujuh hari lagi sebelum pengundian pada 11 Mei ini, PRK KKB yang bermula sejak 27 April lepas menyaksikan perang bendera parti bertanding semakin rancak di beberapa lokasi pilihan di sekitar DUN berkenaan.
Dalam kehangatan kempen PRK, hujan lebat di sebelah petang dan kadangkala di sebelah pagi sedikit sebanyak merencatkan program yang telah diatur calon apabila terpaksa dibatalkan susulan faktor cuaca.
Sepanjang seminggu berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao menjalankan lebih 10 program sehari dan menjadikan pasar serta kedai makan sebagai lokasi berkempen untuk meraih sokongan pengundi.
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga turut mengadakan lawatan rumah ke rumah, tinjauan mesra di kawasan sekitar DUN serta berkempen atas talian bagi menarik sokongan pengundi muda.
Pengarah Pilihan Raya PH bagi PRK KKB Ng Sze Han berkata sepanjang tujuh hari berkempen, kempen PH diisi dengan pelbagai program bertemu pengundi termasuk pengundi 18 tahun bagi memperkenalkan Pang, 31, dan setakat ini gerak kerja kempen calon telah meliputi 50 peratus kawasan.
"Saya melihat peluang untuk menang amat baik tapi kita harus berusaha lebih kuat dan memperkenalkan manifesto mengenai apakah pembangunan dan perubahan yang ingin dibawa untuk DUN KKB, itu sangat penting," katanya kepada Bernama.
Semalam, Pang melancarkan manifestonya bertemakan 'Kekal Kuala Kubu' yang menggariskan lima teras utama iaitu ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan rakyat.
Pendekatan sama turut dilaksanakan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, 54, dan menurut Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, kawasan yang dilawati calon gabungan itu mencapai 50 peratus setakat ini.
Bagi calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin, 50, beliau yang menggunakan pendekatan bersemuka dengan pengundi menerusi ceramah berkata gerak kerja kempennya setakat ini mencapai 30 peratus.
Manakala calon Bebas Nyau Ke Xin, 29, yang merupakan calon termuda bagi PRK itu berkata kempen secara lawatan rumah ke rumah dan interaksi di media sosial menjadi pilihannya dengan setakat ini gerak kerja kempen telah meliputi 55 peratus kawasan.
PRK KKB yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lepas sehingga 11.59 malam, 10 Mei.
DUN KKB memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
-- BERNAMA