TEMERLOH: Pas meletakkan keyakinan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan kekal bersama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, khususnya di Pahang.


Ringkasan AI
  • Pas yakin bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan kekal bersama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, khususnya di Pahang, kerana ramai anggota BN di peringkat akar umbi menolak kerjasama dengan PH.
  • Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas, Andansura Rabu, menyatakan bahawa akar umbi rakyat menolak kerjasama antara PH dan UMNO, dan hanya pemimpin atasan yang menyokongnya.
  • Andansura juga menyebut bahawa jika PH dan BN bergabung dalam PRU ke-16 di Pahang, BN akan kalah berdasarkan keluhan dan ketidaksenangan dalam kalangan Ketua Cawangan, AJK Bahagian, Ketua Pemuda, dan Ketua Wanita.


Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas, Andansura Rabu berkata, di peringkat akar umbi, ramai anggota BN menolak kerjasama dengan PH.

"Kalau PH dan BN terus bersama di Pahang, mereka akan terus hanyut. Itu bacaan kita; bacaan politik kita.

"Kalau baca angka atas kertas, mungkin orang kata dia boleh menang. Tidak semestinya boleh berlaku begitu.

"Ini kerana di lapangan, akar umbi rakyat menolak PH, UMNO dengan PH. Hanya pemimpin atasan sahaja dan semua orang tahu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena hari terakhir Muktamar Pas ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini.

Beliau yang merupakan ADUN Beserah berkata pihaknya mendengar keluhan pimpinan parti ketika turun ke program Teraju Pahang anjuran Pas pada setiap bulan.

"Ketua Cawangan, AJK Bahagian, bukan ahli biasa, bukan. Malahan ada Ketua Pemuda, Ketua Wanita mereka semua menyatakan ketidaksenangan bergabung bersama PH.

"Ini memberi signal kepada kita bahawa PH dan BN ini kalau dia bergabung dalam PRU ke-16 di Pahang, BN akan kalah," katanya.