KUALA LUMPUR: Penubuhan kerajaan hari ini adalah jelas berasaskan rundingan terbuka yang diikuti rapat oleh semua pemerhati sejak hari pertama dan keabsahannya juga telah dibuktikan menerusi usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abd Halim berkata sekiranya pihak pembangkang masih tidak yakin terhadap keabsahan itu, mereka boleh mengusulkan semula undi tidak percaya kepada kerajaan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Di pihak kerajaan, sudah pun kita memberi respons kepada usul Dewan Pemuda sebelum ini. Jika ada hasrat untuk mendesak Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melepaskan jawatan, sila bawa ke Dewan Rakyat, bukan hanya di Dewan Pemuda atau Sidang Muktamar (PAS).

"Tiada siapa yang berselindung di sebalik sebarang keterikatan yang menjerat sepertiyang cuba digambarkan YB Ahmad Fadhli Shaari (Ketua Penerangan PAS)," kata Adam Adli dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahmad Fadhli yang berkata semua ahli Parlimen kerajaan diikat dengan perjanjian terlebih dahulu semasa usul undi percaya dibawa ke Dewan Rakyat pada Dis 2022.

Anwar ketika berucap dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat di sini malam tadi mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.

Presiden PKR itu berkata pembangkang harus mengikut undang-undang dan bukan hanya bermain sentimen atau bersorak untuk menggesanya "turun" daripada jawatan itu.

-- BERNAMA