PMKS tersebut berjaya menjana RM867 juta jualan eksport bagi tempoh 2021 hingga 2024.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bagi memastikan dasar pendigitalan memanfaatkan usahawan-usahawan tempatan, pelan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menyasarkan untuk melengkapkan PMKS dengan kemahiran digital yang penting.
"Ini bagi mewujudkan persekitaran terangkum, tiada usahawan ketinggalan dalam ekonomi digital," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata setakat Januari 2025, Malaysia telah memeterai tujuh perjanjian perdagangan antarabangsa mengandungi komitmen pendigitalan.
Antaranya ialah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA).
Menerusi perjanjian-perjanjian tersebut, persekitaran digital lancar dan selamat untuk perdagangan barangan, perkhidmatan dan pergerakan data akan diwujudkan.
Ia akan meningkatkan daya saing perdagangan negara serta membawa peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi mampan termasuk PMKS berpotensi meluaskan jangkauan pasaran mereka di peringkat serantau dan antarabangsa.
"Keduanya, mereka boleh memanfaatkan alat dan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti; ketiga, mendapat peluang pembiayaan baharu untuk perkembangan perniagaan terutamanya melalui kemudahan teknologi kewangan.
"Keempat, mereka boleh meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka dengan memanfaatkan program latihan dan inisiatif disediakan kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul mengakui negara tidak terlepas daripada impak pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan di peringkat global kerana ekonomi Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka termasuk berkaitan geopolitik dan dasar baharu diperkenalkan oleh Amerika Syarikat.
"Kita menekankan komitmen terhadap dasar bebas dan berkecuali, pada masa sama, kita mestilah bersikap terbuka dalam menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain.
"Oleh itu, kita harus fokus dan mengenal pasti pelaburan-pelaburan berkualiti dan mengamalkan strategi fokus negara," katanya.
-- BERNAMA
