Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyifatkan muktamar itu sebagai rakaman sejarah yang menjadi medan kemuncak politik kebencian serta membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun di bawah pimpinan Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.
"Umat Islam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah seperti penagihan dadah, keganasan domestik, rasuah serta kemiskinan namun Pas dan Abdul Hadi ketandusan idea dalam isu mendesak ini.
"Sebaliknya mereka lebih fokus berangan-angan ingin merampas kuasa Kerajaan Perpaduan dan mengabaikan agenda hudud yang dilaung sebagai prinsip Pas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata parti yang ditubuhkan pada 1951 itu telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal yang diasaskan oleh tokoh seperti Profesor Zulkifli Muhammad, Burhanuddin al-Helmi, Fadhil Noor, Yusuf Rawa dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Saifuddin Nasution berkata ahli Pas pasti menitiskan air mata melihat PAS mengalami kemerosotan termasuk kegagalan Abdul Hadi mempertahankan kemenangan di Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, yang menyaksikan pemimpin berusia 76 tahun itu hanya menjadi menteri besar untuk tempoh sepenggal sahaja.
"Abdul Hadi hanya dikenang kerana kepimpinan yang tidak kompeten dan lemah," katanya.
Beliau berkata pemimpin Pas sering mendakwa diri sebagai ulama yang mengemudi kerajaan hidayah namun semasa Pas dalam kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022, tiada usaha yang diambil untuk mengharamkan arak dan perjudian di negara ini.
"Selama 30 bulan lebih Pas menyertai kerajaan ketika itu, ini membuktikan Pas sebenarnya lompong dan ketandusan idea dalam memimpin dan membangunkan negara. Kegagalan ini jelas apabila rakyat terpaksa memulakan Kempen Bendera Putih untuk membantu sesama sendiri (ketika pandemik COVID-19)," katanya.
Saifuddin Nasution berkata walaupun Pas sering mengkritik Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perjuangan kerajaan tidak akan terhenti dan akan terus berusaha meningkatkan ekonomi negara demi membantu rakyat dan ia terbukti membuahkan hasil.
"Kita harus mengelakkan retorik yang memecah belah dan mengutamakan dialog konstruktif untuk menangani cabaran negara.
"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kenyataan perlu berdasarkan fakta dan membawa perpaduan, bukan perpecahan. Kita juga harus kritis dalam menilai penggunaan agama, membezakan antara kepentingan politik dan kebaikan ummah secara tulen," katanya.
-- BERNAMA