KUALA LUMPUR: Enam bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat daripada parti itu menegaskan mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas.


Ringkasan AI
  • Status Ahli Parlimen Bebas: Enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat menegaskan mereka tidak akan menyertai mana-mana parti politik. Mereka akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas.
  • Kedudukan dalam Dewan Rakyat: Kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat bergantung pada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Status mereka sebagai Ahli Parlimen Bebas disebabkan oleh Perikatan Nasional (PN).
  • Hak dan Kebebasan: Sebagai Ahli Parlimen, mereka mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan tanggungjawab. Kebebasan mereka mengundi dan menyokong mana-mana pihak termaktub tidak boleh dinafikan oleh arahan parti politik atau perlembagaan parti politik.


Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman menjelaskan, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mereka menyertai mana-mana parti.

Beliau turut memberitahu, soal kedudukan mereka dalam Dewan Rakyat juga tidak seharusnya berbangkit kerana ia hanya boleh diputuskan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Kami akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bebas.

"Yang menjadikan kami Ahli Parlimen Bebas adalah Perikatan Nasional (PN) daripada blok pembangkang. Jadi kedudukan kami dalam Dewan terletak di tangan Speaker. Status kami sebagai Ahli Parlimen Bebas adalah disebabkan oleh PN.

"Kami angkat sumpah bukan di hadapan Presiden kami (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kami angkat sumpah di hadapan Tan Sri Speaker Dewan Rakyat," katanya yang mengetuai sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.

Suhaili menambah, jika arahan yang wujud dari Perlembagaan Bersatu boleh menafikan hak Ahli Parlimen di bawah Perlembagaan Persekutuan, maka keadaan itu boleh mewujudkan ketidakstabilan politik dan matlamat Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tidak tercapai.

"Selaku Ahli Parlimen, kami mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.

"Sebarang percubaan untuk menafikan hak Perlembagaan kami boleh dianggap sebagai suatu kesalahan di bawah 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(e) Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

"Hak kami untuk apa-apa jua dikatakan termasuk menyatakan sokongan atau hak mengundi saya di Dewan Rakyat adalah hak keistimewaan Parlimen di bawah Perkara 63(2) dan tidak boleh dicabar di Mahkamah.

"Kebebasan kami mengundi dan menyokong mana-mana pihak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak tersebut tidak boleh dinafikan oleh arahan parti politik dan perlembagaan parti politik," katanya.

Pada Rabu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti iu telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam Ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen terbabit dikosongkan.

Katanya, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran pada petang Selasa.

Enam ahli Parlimen terbabit adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Suhaili (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang)

Muhyiddin menegaskan alasan dikemukakan Johari dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, ini kerana Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sudah pun memutuskan enam ahli Parlimen berkenaan terhenti keahlian mereka.