Ringkasan AI
- Lantikan Datuk Mohd Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara dilakukan mengikut lunas undang-undang dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
- Pelantikan ini mengambil kira pengalaman luas Mohd Dusuki dalam bidang pendakwaan dan perundangan selama 31 tahun di Jabatan Peguam Negara.
- Kerajaan MADANI komited untuk mereformasi fungsi Peguam Negara melalui kajian empirikal dan sesi perbincangan dengan pakar perundangan serta masyarakat sivil.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, lantikan itu juga selaras dengan Fasal 1, Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau, lantikan itu juga selepas mengambil kira pengalaman luas Mohd Dusuki dalam bidang pendakwaan dan perundangan di Jabatan Peguam Negara.
“Pelantikan Datuk Mohamad Dusuki sebagai Peguam Negara adalah di atas pertimbangan beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendakwaan selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara.
“Kerajaan MADANI kekal komited dalam usaha mereformasi fungsi Peguam Negara melalui kajian empirikal pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang telah dimulakan pada tahun ini dengan kajian empirikal ke Australia dan Kanada.
“Selain itu, beberapa siri perbincangan meja bulat bersama pakar perundangan, ahli akademik dan Pertubuhan Masyraakat Sivil (CSO) dalam dan luar negara juga telah dilakukan,” katanya.
Tambah beliau, beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
Katanya lagi, satu laporan interim hasil kajian tersebut juga akan dibentang kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di bangunan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada Jumaat.
Astro AWANI pada Isnin melaporkan Mohd Dusuki yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) dilantik sebagai Peguam Negara baharu, berkuat kuasa 12 November 2024.
Pelantikan Mohd Dusuki mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Mohd Dusuki mempunyai pengalaman luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan dan berkelulusan undang-undang dari UIAM dan University of Wollongong, Australia.