KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh digesa untuk menarik balik kenyataannya yang mempertikaikan pengampunan diraja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim menegaskan, pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dilakukan sewenang-wenangnya mengikut desakan politik.

"Sebaliknya ia dilindungi mekanisme yang ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.

"Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.

"Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara.

"(Kerajaan) Madani tidak mengamalkan politik dendam atas pertembungan lampau. Ini kerajaan gabungan yang dianggotai pelbagai parti yang ada kepentingan masing-masing. Sehabis baik ianya akan sentiasa dijaga.

"Apakah Akmal mahu terus menutup sebelah mata terhadap pendekatan hari ini di bawah Kerajaan Madani?" soalnya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada kenyataan Akmal menerusi hantaran di Facebook sebelum ini yang mempersoalkan pengampunan Diraja yang diperolehi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sejauh mana proses itu dibawa kepada Lembaga Pengampunan.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, fakta asas mengenai pengampunan Anwar pada 2018 adalah atas dasar pelanggaran prinsip keadilan dan telah melalui proses wajar termasuk pertimbangan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, isu yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum.

Adam Adli turut mengingatkan Akmal bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan dijatuhkan hukuman penjara pada 2022 semasa zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

"Semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar.

"Hari ini, Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil, tanpa sebarang campur tangan politik,' ujarnya.

Tambah Adam, semua pihak termasuk Akmal harus menjadi contoh kepada kepentingan memegang kepada prinsip perlembagaan.

"Bukan semuanya mengenai politik individu atau keperluan pihak tertentu. Negara akan hancur tanpa dukungan terhadap Perlembagaan," ujarnya.