Ringkasan AI
- Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 tanpa sebarang pindaan buat masa kini bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
- Rakyat masih mempunyai kebebasan bersuara dan mengkritik kerajaan selagi tidak melampaui batas yang ditetapkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
- Kementerian Dalam Negeri melaksanakan kajian untuk menilai sama ada pindaan Akta Hasutan perlu dibuat atau menggubal akta baharu bagi menangani isu 3R, dengan penetapan dasar diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Beliau berkata langkah tersebut diputuskan bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Namun, tegas Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, rakyat masih mempunyai kebebasan bersuara dan mengkritik kerajaan seperti yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, selagi tidak terkeluar daripada garis panduan yang ditetapkan.
“Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan rakyat ada kebebasan dalam mengeluarkan pendapat dan bersuara tetapi jangan melampaui batas. Akta hasutan semangatnya adalah untuk memantau perkara mengenai 3R. Sebab itu bukan semua perkara dalam isu 3R dilarang, hanya akan dikenakan tindakan sekiranya melanggar Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya.
“Lebih baik pendekatan yang diambil rakyat, tidak berbicara mengenai isu ini secara terbuka mengenai isu sensitif. Sebenarnya tindakan yang dilakukan PDRM sengaja dibesarkan. Apa yang dilakukan PDRM misalnya untuk mengekang supaya perkara ini tidak berleluasa sampai tahap menjejaskan keselamatan negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang mahu mengetahui sekiranya Kerajaan mempunyai perancangan untuk memansuhkan Akta Hasutan atau memindanya supaya hanya digunakan untuk perkara yang menyentuh institusi diraja dan tidak disalah gunakan untuk isu lain.
Dalam pada itu Shamsul Anuar berkata, KDN telah melaksanakan satu kajian bagi menilai sama ada pindaan terhadap Akta Hasutan perlu dibuat supaya ianya seiring dengan peredaran masa dan ledakan digitalisasi atau menggubal sebuah akta baharu bagi menangani isu 3R.
“Susulan kajian tersebut, Kementerian ini telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bagi penetapan dasar berkaitan perkara tersebut dan Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar supaya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri menyelaras penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Negara.
“Ia bertujuan bagi memelihara keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalaman termasuklah melindungi Institusi Raja Berpelembagaan, Demokrasi Berparlimen dan keharmonian antara agama,” jelasnya lagi.