KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan berpendapat tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan undang-undang baharu bagi mengawal perpaduan di Malaysia.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, undang-undang sedia ada pada masa ini sudah memadai bagi memastikan perpaduan kaum kekal terpelihara.

Tegasnya, akta sedia ada telah mengambil kira pelbagai aspek kawalan bagi mengekang unsur-unsur yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Walau bagaimanapun kalau keadaan mendesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya.

Menurutnya, antara akta yang masih berkuat kuasa ialah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, bagi mengawal kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Selain itu, Kanun Keseksaan (Akta 574), akta yang digubal bagi membolehkan seseorang dihukum atas kesabitan jenayah dengan tujuh seksyen yang berkaitan dengan perpaduan kaum dan keagamaan juga masih dikuatkuasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH - Shah Alam) di Dewan Rakyat pada Khamis yang bertanya adakah kementerian bercadang memperkenalkan undang-undang atau akta bagi membendung elemen permusuhan antara kaum dan agama.